Monday 15 December 2014

KIMA DAGING

Nak makan capati, owhhh, aku prefer Chapati dengan Kima. Jom buat Kimalah pulak. Bagi aku Kima boleh jadi Kima daging, kima ayam ... kima kambing paling lah sedap..

Dalam hal resepi kima, masing-masing boleh guna kreaviti sendiri, apa yang suka, boleh letak dan sesuai dengan selera.... walau bagaimanapun, bagi aku Kima yang aku buat tak nak terlalu berat dengan macam-macam bahan. Sukup aja dengan daging atau kambing atau ayam. Bahan lain karot dan bawang. Rempah biar sesuai.

Jom buat Kima daging. 

Bahan-bahannya:
400 gm kambing/ daging - cincang lebih sedap dari minced
5 sudu besar rempah kari daging di jadikan paste dengan 1 cawan air 
3 ulas bawang merah ditumbuk (hiris pun boleh)
2 ulas bawang putih ditumbuk (hiris pun boleh)
1 batang kayu manis
1 kuntum bunga lawang
1 sudu besar tomato puree
1 biji cili besar merah - cincang kasar-kasar
1 biji cili besar hijau - cincang kasar-kasar
1/2 batang karot - potong dadu kecil-kecil
1 biji kentang - potong dadu kecil-kecil 
1 sudu yoghurt jika suka 
3 sudu besar untuk menumis
garam dan gula secukup rasa

Daging, Kentang dan karot di potong dadu


Rempah kari- tumis hingga naik minyak 
Cara Menyediakannya:

  1. Panaskan minyak dalam periuk dan tumiskan bawang .
  2. Masukkan daun kari, bunga lawang dan kayu manis.
  3. Masukkan rempah kari, dan daging.
  4. Kacau hingga daging masak naik minyak.
  5. Masukkan karot, cili yang dipotong, yoghurt dan garan serta perisa secukup rasa.
  6. Masukkan secawan air dan masakkan hingga agak pekat.
  7. Angkat dan hidangkan dengan capati.

Yummy...

Mai Sepinggan !!!

Thursday 13 November 2014

CHAPATI

Teringin nak makan Chapati tetapi cubaan pertama, hasilnya Capati yang siap keras dan kering.. Kemudian, terfikir alangkah bagusnya kalau dapat nasihat pakar dari pakar buat Chapati. Terus aku wassap Puan Jaspal.... Alhamdulillah dia terus saja beri tips nya. 
Terima kasih Puan Jaspal kerana menjadikan impian ku untuk makan capati  yang sedap buatan sendiri menjadi kenyataan....


Jom buat Chapati...

Bahan-bahannya:

2 cawan  tepung Atta 
1  cawan air suam
1/2 sudu teh garam
sedikit minyak sapi untuk disapukan pada chapati yang sudah siap

Cara menyediakannya:
  1. Masukkan tepung dan garam  ke dalam mangkuk adunan. 
  2. Masukkan air suam sedikit demi sedikit.
  3. Ulikan sehingga doh sebati dan lembut.
  4. Tutupkan dengan tuala /kain maslin selama 20 minit.
  5. Ulikan dan bentukkan bulat-bulat dan canaikan.
  6. Panaskan kuali dan bakar.

Displaying Screenshot_2014-11-13-22-12-43-1.png


Doh siap untuk dicanai 
Canaikan 
Masakkan di atas kuali yang rata

Mai Sepinggan !!


Thursday 30 October 2014

UDANG GORENG NESTUM

Owhhh..... kempunan betul aku nak makan udang goreng nestum, apatah lagi kalau dapat udang segar... Tak reti nak cerita betapa syioknya menjamah selera ~ Sedapnya !!
Nasi panas dan Udang Goreng Nestum.....
Rangup dan wangi

Jom kita buat Udang Goreng Nestum...

Bahan-bahannya:

Udang Segar 
15 - 20 ekor udang kertas sederhana besar
5 tangkai daun kari 
10 biji cili padi hijau dan merah - di potong
2-3 ulas bawang putih dicincang 
4 sudu besar butter
1 1/2  cawan nestum
1 kiub ayam ~ apa2 jenama pun ok 
4 cawan minyak masak 
1 sudu teh garam (secukup rasa)

Cara Menyediakannya:
  1. Bersikan udang dan perapkan dengan garam.
  2. Panaskan minyak dan goreng sehingga masak.
  3. Angkat dan toskan minyak dengan kertas kitchen towel.
  4. Panaskan kuali yang lain dan  masukkan butter sampai cair dan panas.
  5. Tumiskan bawang putih, daun kari dan cili padi.
  6. Kacau sehingga wangi dan masukkan kiub ayam dan nestum.
  7. Gaul dan kacau sehingga garing.
  8. Matikan api dan masukkan udang yang telah digoreng tadi.
  9. Gaulkan sehingga sebati.
  10. Angkat dan hidangkan.
Nyummmm Nyumm


Mai Sepinggan !! 

Saturday 27 September 2014

LEPAT PISANG

Lepat pisang asli.... kueh mueh tradisional yang simple, mudah disediakan  dan sedap. Kalau nak sedap kita guna pisang yang masak ranum. Best kalau dapat pisang awak.

Ada dua jenis lepat ini... satu yang berinti  kelapa dan satu jenis lagi yang tak berinti. Terpulang kepada selera masing-masing.


Lepat pisang 
Jom buat lepat pisang.....

Bahan-bahannya:
15 biji pisang awak yang masak ranum dilecek
1 cawan tepung gandum (jika suka keras tambah lagi tepung)
1 sudu gula (jika suka manis)
garam secukup rasa
2 cawan kelapa putih untuk inti di gaul dengan garam secukup rasa
7" x 6" daun pisang untuk membungkus secukupnya 

Cara menyediakannya:
  1. Adunkan pisang yang dilecek, gula, tepung dan garam hingga sebati.
  2. Sendukkan adunan dan letakkan di atas daun pisang.
  3. Letakkan kelapa putih sebagai inti di tengah.
  4. Balutkannya dan susun dalam pengukus.
  5. Kukus selama 15 hingga 20 minit sehingga masak.
  6. Angkat, sejukkan dan hidangkan.
Letakkan inti kelapa 

Susun dalam pengukus 


Mai Sepinggan !!



Monday 11 August 2014

PERIA GORENG KUNING

Dalam kesibukkan ku masak jua, biar pun ringkas.... hari ini peria goreng. Ramai orang tak suka peria kerana katanya pahit... tapi sebenarnya tidak, petuanya emak, rendamkan dulu peria dengan air garam untuk menghilangkan rasa pahit.  

Jom kita goreng peria!

Peria Goreng Kuning
Bahan-bahannya:
1 biji peria sedang - dipotong dan direndam air garam 15 minit
1 biji telur
2 ulas bawang merah dan putih - ditumbuk
3 sudu air asam jawa
1 biji cili besar merah - potong serong
sedikit garam
secubit kunyit

Cara menyediakannya:
  1. Panaskan kuali dan masukkan minyak.
  2. Tumis bawang yang ditumbuk - kacau sehingga kuning.
  3. Masukkan peria dan sedikit air kacau hingga lembut.
  4. Masukkan air asam jawa, kunyit dan garam secukup rasa danl kacau.
  5. Masukkan cilimerah,  telur dan kacau sehingga masak.
  6. Angkat dan hidangkan dengan nasi panas. 
Mai Sepinggan!!

Friday 6 June 2014

Broery Marantika - Biar Bulan Bicara

Hai, mohon maaf kerana tidak ada entri yang mau dipos ini kali. Hari ini Chef rasa tidak sihat, terus melayan diri dengan lagu-lagu ini. Biar beratus kali didengari tak mungkin jemu....
BIAR BULAN BICARA 
Bulan sabit
Yang jatuh dipelataran
Bintang redup
Tanpa cahaya gemintang
Langkah tanpa arah
Sesat di jalan yang terang
Aku yang terlena dibuai pelukan dosa

Chorus:

Ingin pulang membalut luka hatimu
Ku pun tahu betapa pedih batinmu
Beri kesempatan atau jatuhkan hukuman
Andai maaf pun tak kau berikan

Air mata tulus jatuh di sudut bibir mu

Tak terlintas dendam di bening mata indah mu
Aku yang merasa sangat berdosa pada mu
Masih pantaskah mendampingi mu

Biar lah bulan bicara sendiri

Biarlah bintang kan menjadi saksi
Tak kan ku ulangi walau sampai akhir nanti
Cukup derita sampai di sini

Wednesday 4 June 2014

CHICKEN PUFF

Chicken Puff... Sedap sangat dan kita boleh makan sebagai sarapan pagi atau  makan tengahari  biarpun ada yang  kata untuk minum petang.. Owhhh .. 
Hmmm... hari ini Chef nak ajak buat Chicken Puff sebab tengah teringin sangat-sangat.

Jom kita buat chicken puff untuk minum petang...

Saiznya ikut cita rasa
Bahan-bahan untuk intinya:
5o gm minyak
80 gm bawang dihiris nipis-nipis
30 gm tepung
250 gm sayuran campur (yang beku peas, carrot)
200 gm daging ayam di potong kecil/cincang
2 sudu besar kicap cair
1/4 sudu teh  lada hitam
1 sudu teh serbuk pati ayam
200 gm air
garam secukup rasa
Cara membuat inti:
  1. Panaskan minyak dan tumiskan bawang sampai wangi.
  2. Masukkan tepung dan kacau selama 30 saat.
  3. Masukkan sayuran campur, kacau 2 minit.
  4. Masukkan ayam, air, kicap cair, lada hitam, pati ayam dan garam secukup rasa.
  5. Kacau sehingga masak.
  6. Angkat dan sejukkan.

Pastri paf yang diisi inti 
Bahan-bahan untuk  pastri:
400  gm tepung 
50 gm mentega
1/8 sudu teh garam
220 gm air
500 gm majerin pastri

Penyediaan Pastri:
  1. Adunkan tepung, mentega, garam dan air sehingga menjadi doh licin.
  2. Biarkan 15 minit.
  3. Canaikan doh, letakkan majerin pastri ditengah-tengah doh, balutkan.
  4. Canaikan doh menjadi 10 mm tebal dan lipatkannya.
  5. Biarkan 15 minit. Balik-balikkan doh dan canaikan lagi sebanyak 4 kali.
  6. Akhir sekali canaikan menjadi 3 mm.
  7. Potong mengikut saiz yang dikehendaki.
  8. Isikan dengan inti tadi.
  9. Tutupkan dan tekan tepi dengan garpu.
  10. Sapukan dengan pengilat kuning telur.
  11. Tusukkan beberapa lubang dengan garpu.
  12. Bakar pada suhu 200'C selama 35 minit atau hingga perang.                                          

  13. Chef suka perang dan rangup

 inti boleh ganti daging atau kambing 


Boleh bentuk bulat begini


Yummy...


Mai Sepinggan !!

Thursday 29 May 2014

PENGAT LABU SERAWA LABU

Pengat labu ! Kalau boleh dapat pengat labu buat minum petang alangkah lazatnya.. Cari labu yang betul-betul masak dan manis.... santan pekat dan gula Melaka yang ori... wow.. alangkah enaknya ...


Pengat Labu

Jom buat pengat labu...

Bahan-bahannya :
1/2 biji labu yang sedang - dikupas kulit dan potong
1 liter santan
1 cawan gula pasir
1 cawan gula Melaka
1 helai daun pandan
1/4 cawan sagu mata ikan warna putih - direndam sekejab dan toskan
1 sudu teh garam / secukup rasa

Cara menyediakannya:
  1. Masukkan semua bahan kedalam periuk.
  2. Masak sehingga empuk.
  3. Angkat dan hidangkan panas.


Boleh dimakan panas atau sejuk

Mai Sepinggan !!

Saturday 17 May 2014

PULUT KUNING

Pulut kuning ~ bila dah teringin pulut kuning aku tak tunggu buat apa-apa majlis... teringin saja terus bikin sendiri. Bahan Paling utama ialah pulut mesti ada dan sudah tentu pulut susu yang dibawa dari kampung.

Pulut Kuning 
Jom buat pulut kuning...

Bahan-bahannya;

1 kg beras pulut
2 helai daun pandan 
1/2 kg santan
sedikit kunyit untuk pewarna
garam secukup rasa

Cara menyediakannya:
  1. Rendam beras pulut selama 20 minit bersama kunyit serbuk
  2. Toskan dan masukkan dalam kukusan.
  3. Kukus pulut selama 20 minit atau sehingga pulut masak.
  4. Masukkan garam ke dalamsantan.
  5. Bila masak, angkat dan gaulkan dengan santan  ketika pulut masih panas.
  6. Kacau hingga sebati.
  7. Hidangkan dengan rendang  atau kari ayam, atau daging.

Mai Sepinggan !!

SAGU MERAH KELAPA

Sagu kelapa untuk minum petang ~ ahh tak kisahlah... nak buat sarapan pagi pun ok, paling suka ialah sebagai juadah berbuka puasa. Keenakkannya bertambah jika   kelapa parut yang diguna adalah segar dan sagunya tidak mentah. 


Kueh Sagu Merah
Ada 2 cara untuk buat kueh sagu ini. Kalau suka kacau, kita kacau sampai masak. atau alternatifnya kita lengat.

Jom buat kueh sagu merah....

Bahan-bahannya:

300 gm sagu mata ikan ( saya suka yang warna merah )
1/4 biji kelapa ~ diparut halus
1/2 cawan gula pasir
3 gelas air
pewarna secukupnya
secubit garam 
daun pandan 

Cara Menyediakannya:

  1. Bersihkan sagu dan rendam dengan air bersama pewarna merah selama 5 minit.
  2. Masakkan gula dengan air sehingga cair.
  3. Masukkan sagu, daun pandan dan kacau hingga kembang.
  4. Angkat dan tuang kedalam loyang. Sejukkan.
  5. Gaulkan kelapa parut dengan garam secukup rasa.
  6. Potong sagu yang telah sejuk dan golekkan/gaulkan dengan kelapa parut.
  7. Hidangkan.
Lembut dan enak

Mai sepinggan !!

Saturday 3 May 2014

PUDING CENDOL

Hi .......... apa khabar ??? Hari ini adalah hari yang paling sibuk , pada masa yang sama kawan minta tolong buatkan Puding Cendol... ada syarat pulak tu... tak mau manis tapi nak sedap..
Ha ha ha... pening juga kepala kerana bukan senang nak modify resepi.
Selepas beberapa percubaan, akhirnya aku dapat satu resepi yang perfek!!

Puding Cendol yang sedap
Jom buat Puding Cendol....

Bahan-bahannya:
Untuk Lapisan Bawah (Gula Merah)
800 ml air
300 gm gula merah
400 ml santan pekat
15 gm agar-agar powder
1 biji kuning telur
sedikit garam 

Cara menyediakannya: 
  1. Masakkan gula merah dengan sedikit air ( gunakan 300ml daripada 800ml)
  2. Apabila hancur, angkat dan tapiskan air gula.
  3. Masukkan air gula merah, baki air dan agar-agar ke dalam periuk.
  4. Masakkan hingga mendidih.
  5. Pukul kuning telur di dalam santan.
  6. Tuangkan santan ke dalam adunan, masukkan garam.
  7. Biarkan mendidih sekejab, angkat dan tuangkan kedalam loyang 10x10".
  8. Sejukkan. 
Untuk Lapisan Atas (Cendol)
500 ml air
180 gm gula pasir
300 ml santan pekat
10 gm agar-agar powder
500 gm cendol
sedikit garam

Cara menyediakannya: 
  1. Masakkan air, agar-agar powder dan gula pasir sehingga mendidih.
  2. Masukkan santan dan garam. Biarkan mendidih sedikit.
  3. Masukkan cendol. Kacau perlahan-lahan selama 2/3 minit.
  4. Angkat. Tuangkan adunan di atas lapisan gula merah dan sejukkan. 
  5. Apabila beku dan sejukkan di dalam peti ais.
  6. Keluarkan, potongkan dan hidangkan sejuk-sejuk. 
( nota: sebelum tuang ke atas lapisan agar-agar gula merah, pastikan ia dicakar-cakarkan / ditusuk sedikit dengan garpu supaya melekat bila beku)

Nyum..Nyum..



                   Mai sepinggan !!

Wednesday 30 April 2014

APOM LENGGANG

Apom Lenggang ~ Nama Apom Lenggang mungkin kerana masa membuat apom ni kena angkat kuali kecil dan lenggang-lengangkan nya....


Kalau zaman dulu apom lenggang ni disajikan untuk breakfast. Zaman sekarang, tiap hari boleh beli di kiosk kueh tepi-tepi jalan dan biasanya dijual waktu petang.

Allahyarhamah emak selalu buat apom lenggang dan dimakan dengan kelapa parut. Keharuman apom lenggang dan kelapa yang baru diparut amat menyelerakan...


Enak dimakan bersama kelapa

Rangup ditepi dan lembut ditengah
Jom buat apom lenggang ..

Bahan-bahannya:

300 gm tepung beras ~ zaman dulu kita kisar tepung sendiri
250  ml santan  pekat + 30 ml air
3/4 sudu kecil yis Mauripan
3/4 sudu kecil garam
50 gm gula pasir
1/2 cawan nasi

Cara menyediakannya:
  1. Campurkan semua bahan dan blenderkannya.
  2. Tuangkan kedalam mangkuk adunan dan kacau biar sebati.
  3. Tutupkan dengan tuala lembab.
  4. Rehatkan adunan hingga naik 2 kali ganda (45 minit).
  5. Panaskan kuali kecil dan sapukan minyak supaya tak lekat.
  6. Sendukkan 1/4 adunan ke dalam kuali yang panas.
  7. Perlahankan api.
  8. Lenggangkan supaya adunan menjadi rata dan bulat.
  9. Tutup sebentar, 2-3 minit.
  10. Bila Bahagian tepi sudah kekuning-kuningan angkat. 
  11. Buat sehingga adunan habis.
  12. Hidangkan bersama kelapa parut dan gula merah.

Mai Sepinggan !!



NASI GORENG OBAMA

Hari ini baca news paper... banyak cerita-cerita tentang Barack Obama melawat Malaysia. Sudah habis baca news paper, nak kena masak pula, tapi nak masak apa ya? 

Dalam keadaan tak ada air, kita masaklah yang paling mudah... tapi biar sedap!

Nasi goreng pun kira ok sebab ada semua dalam satu, lauk, sayur pun ada. Kita panggil saja Nasi Goreng Obama... tak hitam, tak putih, tak pedas...yang penting sedap !! Sajian ni yang lengkap.

Jom masak nasi goreng Obama ..


Hiaslah, letak udang seekor

Letak keropok dan telur mata kerbau

Bahan-bahannya:

3 mangkuk nasi sejuk
8 ekor udang basah - bersihkan 
1 biji karot - potong dadu
1/4 kobis - dipotong
3 ulas bawang putih - tumbuk
2 ulas bawang merah - tumbuk
3 sudu besar kicap pekat manis
garam secukup rasa
satu senduk minyak untuk menumis

Cara menyediakannya:

  1. Panaskan minyak dalam kuali.
  2. Tumiskan bawang sampai kuning.
  3. Masukkan karot, dan udang basah - kacau.
  4. Masukkan kobis dan nasi - kacau.
  5. Masukkan kicap dan garam secukup rasa.
  6. Kacau sehingga masak.
  7. Angkat dan hidangkan.
Ha.. ha..Nasi Goreng Obama


Mai Sepinggan !!!

Tuesday 22 April 2014

IKAN KERAPU KUKUS STIM

Owhhhhhh...  lamanya tak menulis...dan tak sempat nak keluarkan gambar baru ....

Masak-masak pun banyak yang tergendala kerana tak ada air.. walau bagaimana pun hari ini sempat buat ikan kerapu  kukus..

kerapu kukus

Jeng..jeng..jeng... inilah kerapu kukus saya. Mudah, cepat dan sedap!

Apakah bahannya?

2 ekor kerapu yang segar  - dibersihkan
2 batang serai di ketuk
1/2 karot di potong
7 ulas bawang putih- dibelah 2
2 inci halia muda - di potong 
3 biji asam boi - jika suka
sedikit lada hitam
garam secukup rasa
daun sup dan daun bawang untuk ganishing.

Cara menyediakannya:
  1. Sapukan garam pada ikan.
  2. Letakkan serai di dalam kukusan.
  3. Letakkan ikan, bawang putih, halia, lada hitam, karot.
  4. Kukuskan selama 20 minit, bila masak tutup api.
  5. Biarkan 5 minit sebelum buka kukusan.
  6. Angkat dan percikkan minyak bijan 
  7. Taburkan daun bawang dan daun sup.
Enaknya dimakan dengan cili kicap....

cili kicap

Mai Sepinggan !!

Saturday 8 March 2014

TENDERLOIN STEAK

Bila teringat nak makan steak, tak ada apa yang susah sangat nak masaknya... kita cuba masak sendiri.. apa-apa pun pan-fried saja...

tenderloin steak
Jom kita masak steak hari ini...

Bahan-bahannya:
2 sudu besar minyak zaitun
1 sudu teh garam
1 sudu besar rosemary incang kasar
2 ulas bawang putih - cincang
1 sudu besar kulit lemon diparut
1 keping daging tenderloin (300 gm) 
boleh juga guna ribeye

Cara Menyediakannya:
  1. Campurkan semua bahan, lumurkan dan perapkan daging dengan campuran di atas selama sejam.
  2. Panaskan skillet cast-iron dengan api sederhana.
  3. Ambil daging sahaja dan tanggalkan bahan marinate.
  4. Letakkan dalam skillet dan bakar sehingga dua minit. 
  5. Terbalikkan steak dan bakar dua minit lagi.
  6. Terbalikkan semula ke dua-dua belah untuk mendapat kesan bakar selama dua minit sebelah lagi sehingga masak. Biar kan selama lima minit.
  7. Angkat dan hidangkan dengan tomato, jagung, tomato dan juga sayuran yang disukai.

Mai Sepinggan !!


Saturday 1 March 2014

MEE KARI .. PEKAT-PEKAT GITU SEDAP !!!

Yeaaaaa..... hari ini kita buat mee kari. Mee kari yang pekat-pekat kuahnya.. original, macam zaman dulu-dulu makan dekat gerai di Benteng  (sekarang dah jadi stesen LRT Masjid Jamek ?) atau dekat Kompleks Munsyi Abdullah ( sekarang dah jadi Balai Polis Dang Wangi?). Allahyarham Abang Nan selalu belanja makan mee kari di sana....



Ada terung goreng, kacang panjang, sawi dan sambal 



Jangan lupa tahu pok dan telur rebus



owhhhhhh mennn!!!



Dalam kari ini aku letak juga ketam, kerang  dan sotong ball ... tapi hari ini tak sempat cari kerang 

Bahan-bahannya untuk kari :

1/4 bungkus rempah kari ikan - jadikan pes
1 kg santan pekat +  1 1/2 liter air
5 ulas bawang putih dan 4 ulas bawang merah tumbuk
1 tangkai daun kari
2 sudu halba campur (kas-kas)
2 batang serai
1 cawan minyak untuk menumis
3 keping asam keping garam - tambah jika nak masam lebih
garam secukup rasa

* isi kari
2 ekor ketam bersihkan dan potong 4,
5 ekor  udang kertas - aku suka saiz besar
5 biki bebola ketam - belah dua 
10 biji tahu pok
1 cawan kerang rebus dan dikopek

Cara menyediakannya:
  1.  Panaskan minyak dalam periuk dan tumiskan bawang, masukkan halba campur dan kacau hingga layu.
  2. Masukkan rempah dan daun kari  dan kacau sampai naik minyak.
  3. Masukkan ketam dan udang - kacau sebentar.
  4. Masukkan asam keping, santan, tahu pok dan sotong ball.
  5. Masukkan garam dan kacau perlahan sehingga masak.
  6. Angkat dan hidangkan.

Bahan-bahan lain untuk mee:
1 paket mee kuning - di celur 
2 tangkai sawi - di bersihkan, potong dan celur.
3 papan kacang panjang - di potong dan goreng hingga masak
1 biji terung - dipotong dan goreng hingga masak
2 biji telur di rebus keras dan belah 2
1 mangkuk sambal cili - jika suka




Mai Sepinggan !! 

Sunday 23 February 2014

CUCUR BADAK

Salam... hari ini kita buat cucur badak, minum petang dan juga bila-bila nak makan pun boleh... hmmm ada sahabat bertanya, kalau cucur udang kita boleh nampak udang dalamnya, kalau cucur badak, kat mana badaknya? Ha ha ha .... apa-apa je...

Cucur badak yang Allahyarham emak buat adalah yang paling sedap , tiada tandingannya. Ubi keledek yang segar, kelapa serta udang yang segar untuk intinya. No compromise!! Biasanya inti untuk cucur badak ini sama seperti inti pulut udang.

Jom kita buat cucur badak..

Bahan-bahan untuk intinya:

Sila Rujuk resepi inti pulut udang !

Bahan-bahan Doh :

2 biji keledek putih sederhana besar
3 sudu besar  tepung gandum 
1/2 sudu teh garam halus
minyak untuk menggoreng

Cara menyediakan doh:


Buangkan kulit ubi dan rebus sampai empuk, angkat dan sejukkan.

hancurkan/ lecekkan

 Bentukkan doh bulat dan buat lubang untuk masukkan inti ke dalamnya.Tutup lubang dan bentukkan bulat dan leperkan sedikit. Buat sehingga habis doh.

Panaskan minyak dan goreng sehingga masak ~ kekuningan keperangan.

Angkat dan toskan!

Udang Inside!!


Mai Sepinggan !!!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...