Showing posts with label Kuih-muih. Show all posts
Showing posts with label Kuih-muih. Show all posts

Tuesday, 28 July 2015

CEMPEDAK GORENG CUCUR CEMPEDAK

Siapa yang tak suka makan cempedak goreng??? Orang Utara biasanya panggil Cucoq Cempedak. Biasanya saya buat cempedak goreng ini menggunakan buah cempedak kampung sebab ianya lebih wangi  dan sedap. Kalau cempedak kahwin, isinya yang terlalu tebal akan menyebabkan cempedak goreng tidak akan rangup.


Cempedak kampung 
Cempedak goreng biasanya hidangan untuk minum petang....Owh alangkan segarnya dipetang hari yang panas terik atau hujan rintik2 bertemankan secawan kopi dan sepiring cempedak goreng. 


Isi cempedak kampung

Isi Kuning, wangi dan manis
Jom hari ini kita masak cempedak goreng...

Bahan-bahannya:

1 biji cempedak yang sederhana ( pilih yang sekilo)
2 cawan tepung beras
1/2  cawan air kapur
1/2 cawan air sejuk
1 sudu teh garam (secukup rasa)
1 sudu kecil bijan
sedikit kunyit atau pewarna kuning
4 cawan minyak untuk menggoreng


Cara Menyediakannya:

  1. Campurkan semua bahan untuk membuat batter tepung, air kapur, garam bijan pewarna kuning.
  2. Masukkan air sedikit demi sedikit sehingga menjadi batter yang boleh menyalut.(gooey consistency)
  3. Panaskan minyak di dalam kuali.
  4. Celupkan ulas cempedak dan masukkan ke dalam kuali.
  5. Goreng sehingga masak.
  6. Angkat, tos dan hidangkan.



Mai Sepinggan !

Saturday, 27 September 2014

LEPAT PISANG

Lepat pisang asli.... kueh mueh tradisional yang simple, mudah disediakan  dan sedap. Kalau nak sedap kita guna pisang yang masak ranum. Best kalau dapat pisang awak.

Ada dua jenis lepat ini... satu yang berinti  kelapa dan satu jenis lagi yang tak berinti. Terpulang kepada selera masing-masing.


Lepat pisang 
Jom buat lepat pisang.....

Bahan-bahannya:
15 biji pisang awak yang masak ranum dilecek
1 cawan tepung gandum (jika suka keras tambah lagi tepung)
1 sudu gula (jika suka manis)
garam secukup rasa
2 cawan kelapa putih untuk inti di gaul dengan garam secukup rasa
7" x 6" daun pisang untuk membungkus secukupnya 

Cara menyediakannya:
  1. Adunkan pisang yang dilecek, gula, tepung dan garam hingga sebati.
  2. Sendukkan adunan dan letakkan di atas daun pisang.
  3. Letakkan kelapa putih sebagai inti di tengah.
  4. Balutkannya dan susun dalam pengukus.
  5. Kukus selama 15 hingga 20 minit sehingga masak.
  6. Angkat, sejukkan dan hidangkan.
Letakkan inti kelapa 

Susun dalam pengukus 


Mai Sepinggan !!



Saturday, 17 May 2014

SAGU MERAH KELAPA

Sagu kelapa untuk minum petang ~ ahh tak kisahlah... nak buat sarapan pagi pun ok, paling suka ialah sebagai juadah berbuka puasa. Keenakkannya bertambah jika   kelapa parut yang diguna adalah segar dan sagunya tidak mentah. 


Kueh Sagu Merah
Ada 2 cara untuk buat kueh sagu ini. Kalau suka kacau, kita kacau sampai masak. atau alternatifnya kita lengat.

Jom buat kueh sagu merah....

Bahan-bahannya:

300 gm sagu mata ikan ( saya suka yang warna merah )
1/4 biji kelapa ~ diparut halus
1/2 cawan gula pasir
3 gelas air
pewarna secukupnya
secubit garam 
daun pandan 

Cara Menyediakannya:

  1. Bersihkan sagu dan rendam dengan air bersama pewarna merah selama 5 minit.
  2. Masakkan gula dengan air sehingga cair.
  3. Masukkan sagu, daun pandan dan kacau hingga kembang.
  4. Angkat dan tuang kedalam loyang. Sejukkan.
  5. Gaulkan kelapa parut dengan garam secukup rasa.
  6. Potong sagu yang telah sejuk dan golekkan/gaulkan dengan kelapa parut.
  7. Hidangkan.
Lembut dan enak

Mai sepinggan !!

Wednesday, 30 April 2014

APOM LENGGANG

Apom Lenggang ~ Nama Apom Lenggang mungkin kerana masa membuat apom ni kena angkat kuali kecil dan lenggang-lengangkan nya....


Kalau zaman dulu apom lenggang ni disajikan untuk breakfast. Zaman sekarang, tiap hari boleh beli di kiosk kueh tepi-tepi jalan dan biasanya dijual waktu petang.

Allahyarhamah emak selalu buat apom lenggang dan dimakan dengan kelapa parut. Keharuman apom lenggang dan kelapa yang baru diparut amat menyelerakan...


Enak dimakan bersama kelapa

Rangup ditepi dan lembut ditengah
Jom buat apom lenggang ..

Bahan-bahannya:

300 gm tepung beras ~ zaman dulu kita kisar tepung sendiri
250  ml santan  pekat + 30 ml air
3/4 sudu kecil yis Mauripan
3/4 sudu kecil garam
50 gm gula pasir
1/2 cawan nasi

Cara menyediakannya:
  1. Campurkan semua bahan dan blenderkannya.
  2. Tuangkan kedalam mangkuk adunan dan kacau biar sebati.
  3. Tutupkan dengan tuala lembab.
  4. Rehatkan adunan hingga naik 2 kali ganda (45 minit).
  5. Panaskan kuali kecil dan sapukan minyak supaya tak lekat.
  6. Sendukkan 1/4 adunan ke dalam kuali yang panas.
  7. Perlahankan api.
  8. Lenggangkan supaya adunan menjadi rata dan bulat.
  9. Tutup sebentar, 2-3 minit.
  10. Bila Bahagian tepi sudah kekuning-kuningan angkat. 
  11. Buat sehingga adunan habis.
  12. Hidangkan bersama kelapa parut dan gula merah.

Mai Sepinggan !!



Sunday, 23 February 2014

CUCUR BADAK

Salam... hari ini kita buat cucur badak, minum petang dan juga bila-bila nak makan pun boleh... hmmm ada sahabat bertanya, kalau cucur udang kita boleh nampak udang dalamnya, kalau cucur badak, kat mana badaknya? Ha ha ha .... apa-apa je...

Cucur badak yang Allahyarham emak buat adalah yang paling sedap , tiada tandingannya. Ubi keledek yang segar, kelapa serta udang yang segar untuk intinya. No compromise!! Biasanya inti untuk cucur badak ini sama seperti inti pulut udang.

Jom kita buat cucur badak..

Bahan-bahan untuk intinya:

Sila Rujuk resepi inti pulut udang !

Bahan-bahan Doh :

2 biji keledek putih sederhana besar
3 sudu besar  tepung gandum 
1/2 sudu teh garam halus
minyak untuk menggoreng

Cara menyediakan doh:


Buangkan kulit ubi dan rebus sampai empuk, angkat dan sejukkan.

hancurkan/ lecekkan

 Bentukkan doh bulat dan buat lubang untuk masukkan inti ke dalamnya.Tutup lubang dan bentukkan bulat dan leperkan sedikit. Buat sehingga habis doh.

Panaskan minyak dan goreng sehingga masak ~ kekuningan keperangan.

Angkat dan toskan!

Udang Inside!!


Mai Sepinggan !!!

Wednesday, 5 February 2014

KOLE KACANG DAN TAHI MINYAK

Salam..... apa kabar kawan-kawan? Teringat hari ini nak makan kueh Kole Kacang. Hmm bila nak buat Kole Kacang, pertama sekali kena buat tahi minyak. Jangan risau, nak buat tahi minyak ni senang saja.

Jom kita buat tahi minyak..

Bahan-bahannya:
2 biji kelapa parut ( perahkan santan dengan 2 cawan air) 

Cara menyediakannya:


  1. Masakkan santan kelapa  di dalam kuali dengan menggunakan api sederhana.
  2. Kacau dari masa ke semasa supaya tidak berkerak.
  3. Kacau hingga santan bertukar menjadi jernih dan tahi minyak berwarna perang.
  4. Angkat dan toskan.
  5. Sejukkan tahi minyak dan taburkan atas kole kacang.
Minyak kelapa -  jernih dan bersih 

Tahi minyak ~ rangup dan wangi
KOLE KACANG
Bahan-bahannya:

200 gm tepung kacang hijau 
100 gm gula
300 gm gula merah
700 ml santan
200 ml air
garam secukup rasa

Cara membuatnya:
  1. Masukkan semua bahan di atas kedalam periuk/ kuali.
  2. Kacau di atas api sederhana sehinggan pekat dan berkilat.
  3. Setelah masak, masukkan ke dalam loyang dan ratakan.
  4. Taburkan tahi minyak seratanya.
  5. Biarkan sejuk, potong dan hidangkan.
Kole Kacang

Mai sepinggan !!


Thursday, 30 January 2014

KUIH RENGAS / KUEH KACANG

Hai... apa khabar semua... lama tak menulis kerana terlalu sibuk buat kueh.  Hari ini kita buat kueh rengas atau setengah orang panggil kueh kacang. Aku suka kueh ini untuk minum petang atau santai-santai minum pagi.

Kueh kacang

Jom buat kueh kacang...

Bahan-bahannya:

1 cawan kacang hijau (direndam selama lebih kurang 3 jam)
500 ml air
105 gm gula pasir
90 gm tepung beras
secubit kapur makan
4 1/2 sudu air sejuk
1/2 kuali minyak untuk menggoreng

Cara membuatnya:


  1. Sediakan kacang. Bersihkan dan rendam  selama 3 jam, angkat dan toskan.
  2. Rebus kacang dengan 500 ml air sehingga lembut.
  3. Campurkan gula ke dalam kacang yang sudah empuk dan biarkan ia mereneh sehingga pekat.
  4. Angkat dan sejukkan dalam mangkuk.
  5. Bahagikan kepada 12 bahagian yang sama banyak dan bentukkan bulat.
  6. Tekan dan leperkan .
  7. Sediakan batter - bancuhkan tepung beras, kapur dan garam.
  8. Panaskan minyak di kuali. Sadurkan kueh dengan batter dan goeng sehingga kekuningan.
  9. Angkat dan toskan - hidangkan panas-panas.
Nyum-nyum..

Mai Sepinggan !!

Thursday, 14 November 2013

KUIH KOCI

Minum petang kawan-kawan... kuih koci !!!

Kuih koci adalah kegemaran emak... dan semestinya lembut, liat dengan   tepung pulut hitam  berinti kelapa bergula merah.... dan disaluti santan pekat yang cukup lemaknya.... aduhh!!


Kuih Koci
Jom buat kueh koci....

Bahan-bahannya:

Inti:
1 cawan kelapa parut ( pilih kelapa yang agak muda - sedap)
1/2 cawan gula merah/ gula Melaka/ gula kabung
1/4 cawan gula pasir
1 helai daun pandan
garam secukup rasa
1/4 cawan air

Bahan untuk doh:

1 cawan tepung pulut hitam (boleh buat sendiri atau beli yang dah siap)
250 gm tepung pulut putih 
1/4 cawan santan pekat
1/2 cawan  air

Bahan lain:

daun pisang secukupnya - dibersihkan/ dilayur dan potong 5 inci x 5 inci
1 cawan santan pekat - ditambahkan garam secukup rasa 

Cara-cara menyediakan intinya:
  1. Masukkan semua bahan ke dalam kuali dan panaskan di atas api.
  2. Kacau sehingga sebati, lembap dan pekat.
  3. Angkat dan sejukkan.
Cara membuat doh:
  1. Satukan tepung pulut hitam dan putih dalam bekas.
  2. Masukkan santan pekat dan air sedikit demi sedikit.
  3. Uli sehingga menjadi doh yang lembut, licin dan tidak melekat.
  4. Ambilkan sejemput demi sejemput, bentukkan doh menjadi bulat-bulat sehingga habis.
  5. Ambil sebiji doh, letakkan atas daun pisang dan leperkan.
  6. Letakkan sesudu inti ke atasnya dan tutup dengan doh.
  7. Bubuh satu susu besar santan pekat.
  8. Lipatkan dengan kemas sampai habis dan susunkan dalam kukusan.
  9. Kukus selama 15 minit di atas air menggelegak.
Lemak, berperisa..

Nyum! Nyum!



Mai Sepinggan !!




Sunday, 20 October 2013

BENGKANG UBI KAYU @ BINGKA UBI

Juadah minum petang hari ini ialah bengkang ubi kayu. Seharian bertungkus lumus di kebun belakang rumah, dapat juga 5 ketul ubi kayu.

Selepas diparut, dapat  lima cawan besar (5 mug).  Dibakar dan hampir masak,  semerbak bau nya !!


Jom buat bengkang ubi kayu... resepinya:

Bahan-bahannya: 

250 gm ubi kayu ( diparut dan diperah)
250ml air gula  pasir ( pekat)
250 ml  santan pekat
1 biji telur
sedikit butter untuk disapu pada loyang
garam secukup rasa
pewarna kuning

Cara menyediakannya:
  1. Bancuh ubi parut dengan santan dan air gula pekat.
  2. Pukul telur dengan garpu, masukkan dalam adunan ubi.
  3. Sapukan loyang dengan butter.
  4. Masukkan adunan ke dalam loyang. Ratakan.
  5. Bakar sehingga masak dan perang di atasnya.
Masukkan dalam loyang dan sedikit butter di atasnya

Bakar sehingga  perang di atasnya

Biarkan sejuk sebelum dipotong



Mai Sepinggan !!


Saturday, 19 October 2013

LOMPANG

Kueh Lompang !! Fav. allahyarham emak ...., dia buat lompang yang terbaik di dunia meski pun tak pernah ada timbangan metric.... gula merah dan kelapa yang segar.... harumnya....

Lompang yang enak.

Di zaman kanak-kanak dulu aku  hairan kenapa kueh ni berlubang di tengah... Hahh.. sebenarnya lompang yang baik mesti berlubang / lompang di tengahnya, untuk diisi dengan kelapa parut/ nyok.

Jom buat kueh lompang untuk minum petang ...

Bahan-bahannya:

300 gm tepung beras 
1 sudu besar tepung jagung
1 cawan gula putih
1/2 cawan gula merah
1/2 biji kelapa parut - gaulkan dengan sedikit garam.
air kapur 1/2 cawan

Cara menyediakannya:
  1. Masakkan gula merah dan gula putih dengan 3 cawan air sehingga larut, angkat dan sejukkan.
  2. Campurkan tepung beras dan tepung jagung, air kapur.
  3. Masukkan sedikit garam.
  4. Masukkan air gula dan kacau sehingga sebati.
  5. Panaskan cawan lompang dalam kukusan.
  6. Tuangkan adunan ke dalam semua cawan sehingga 3/4 cawan dan kukus sehingga masak.
  7. Setelah masak, keluarkan kueh dari acuan dan sejukkan.
  8. Letakkan kelapa parut dalam lubang - hidangkan !!
Lompang dan kelapa parut 

Nyummm..nyumm!!

Cawan Lompang 

Cawan Lompang 

Boleh juga guna daun pandan untuk lompang hijau


Mai sepinggan !!!


Sunday, 8 September 2013

TEPUNG PELITA

Tepung PELITA? Orang panggil juga kueh Jongkang (?) First time merasa kueh ni masa bulan puasa di asrama kat kampus, zaman dulu-dulu. Emak aku tak pernah ajar buat kueh ni, tapi buku resepi ERT yang Zarina yang dia buat fotokopi  untuk aku sangat berguna... TERIMA KASIH CHE' NA. Terima kasih di atas persahabatan yang tak mungkin ku lupakan.

Tepung Pelita ku tak lah cantik sangat , namun kira kira dah jadi bila tengok  rupa dan rasanya hmm tak perlu beli dari kedai.... !!

Tepung pelita yang sedap!

Sekali rasa pasti tak lupa..
Kalau nak beli kueh pelita ni, kena hati-hati takut- takut  basi, kerana kueh ni tak tahan lama sebab ada santan!

Jom buat tepung pelita...

Bahan-bahannya:

Daun pisang ( untuk buat kelongsong - 5 incix 2.5 inci)
lidi pencucuk / boleh stepler (?)

Lapisan bawah:

2 cawan santan cair
1/2 cawan jus pandan
1/4 cawan gula pasir
1/2 cawan tepung beras
pewarna hijau
garam secukup rasa

Lapisan atas:

3 cawan santan pekat
1/2 cawan tepung gandum

Cara menyediakannya:
  1. Buat kelongsong untuk tepung pelita daripada daun pisang.
  2. Bancuh 2 cawan santan cair dengan tepung beras bersama 1/4 cawan gula pasir dalam periuk.
  3. Masukkan jus pandan dan sedikit pewarna hijau.
  4. Kacau di atas api sehingga masak lebih kurang 15 minit.
  5. Masukkan 1 camca teh gula ke dalam setiap kelongsong daun pisang itu.
  6. Tuangkan bancuhan tadi lebih kurang 2 cm tinggi - Kukuskan.
  7. Bancuh 3 cawan santan pekat dengan tepung gandum dan garam.
  8. Masakkan bancuhan ini sehingga masak dan pekat.
  9. Tuangkan bancuhan  tadi  ke atas lapisan pertama dan biarkan set.
  10. Sejukkan sebelum menghidang.

Mai Sepinggan !!




Thursday, 5 September 2013

PULUT DAKAP @ LEPAT DAKAP @ PULUT PISANG

Salam..... dalam kesibukan dan keriuhan seharian, teringin pula nak makan pulut dakap. Bertambah-tambah meleh ayaq lioq bila tengok kawan senegeri yang  tinggal jauh di Sri Langka buat pulut dakap yang mecapai tahap PIAWAI yang tidak boleh ditandingi... Hang buat kami jelous Bashah!!


Pulut Dakap yang enak !!

Pulut yang berdakapan !
Pulut dakap merupakan sejenis kueh. Aku suka sangat. Kalau di sini rasanya sukar ditemui. Tapi kalau balik ke Indera Kayangan, pasti ada ~ dan harganya masih murah terutamanya di gerai kueh Titi Chai.

Biasanya orang Kedah-Perlis akan guna pisang awak yang masak ranum. Pisang lain tak best! Keenakkan kueh ini, pulut yang lemak dan pisang yang manis ... adoi tak dapat diceritakan lagi!

Jom buat pulut dakap....

Bahan-bahannya:

3 cawan beras pulut ( seperti biasa aku suka pulut susu)
1 sikat pisang awak yang masak ranum ( tak ada biji)
3 cawan santan pekat diletakkan garam secukup rasa
2 helai daun pandan
daun pisang secukupnya ( dipotong selebar 6x 6 inci serta dilayur sehingga layu)
tali untuk mengikat secukupnya

Cara-cara menyediakannya:

  1. Rendam pulut selama 1 jam ( kalau bukan pulut susu 3 jam lebih)
  2. Kukus pulut sehingga masak.
  3. Bila masak, gaulkan dengan santan sehingga rata ~ ketepikan.
  4. Ambil pisang dan belah dua.
  5. Sendukkan pulut sebanyak 2 sudu besar dan letakkan ditengah-tengah daun pisang.
  6. Ratakan pulut dan letakkan pisang ditengah-tengahnya.
  7. Lipatkan daun pisang seperti membalut lepat.
  8. Buat sehingga pulut dan pisang habis.
  9. Ambil dua bungkus pulut dan kembarkan keduanya.
  10. Ikat dengan tali di bahagian atas dan bawahnya sehingga habis semua berpasangan.
  11. Masukkan kedalam kukusan dan rebus selama 25 minit.
  12. Angkat dan hidangkan.
Awww!!




Mai Sepinggan !!



Tuesday, 4 June 2013

KUEH KETAYAP

Kueh Ketayap.. di sebelah utara kami panggil kueh ni ketayap. Ada juga orang menyebutnya kueh dadar. Kalau di kampung saya, ketayap ini warna asalnya ialah hijau daun pandan. Kalau guna daun pandan, warna hijaunya cantik dan berbau wangi.


Kueh Ketayap

Inti kueh dadar ini dibuat daripada kelapa dan gula merah atau gula melaka. Intinya mestilah pekat dan lekit sedikit, barulah ngam !!

Ketayap biasanya  dimakan sebagai minum petang atau masa kita orang kecil-kecil dulu, emak selalu buatkan bekal untuk ke sekolah atau untuk parti kelas.

Senang saja  buat ketayap! JOM...

Bahan-bahannya  untuk inti:
150 gm gula melaka
3/4 cawan air
1/2 biji kelapa parut ( kalau boleh kelapa yang belum tua lebih sedap)
sehelai daun pandan - disimpulkan 
garam secukup rasa

Cara menyediakannya:
  1. Gaulkan semua bahan untuk inti dalam periuk bersama daun pandan yang disimpulkan.
  2. Masakkan di atas api sederhana sambil kacau sampai sebati dan melekit sedikit.
  3. Angkat dan sejukkan.

Bahan-bahan untuk kulit:

1 cawan tepung gandum - diayak
1/2 cawan santan (jika suka)
1 biji telur
8 helai daun pandan - dipotong kecil dan dimesin dengan 1 cawan air - ambil jus hijau

Cara menyediakannya:
  1. Masukkan tepung ke dalam mangkuk adunan.
  2. Masukkan telur, santan dan air daun pandan sedikit demi sedikit menjadi better sederhana cair.
  3. Tapiskan bancuhan/ adunan tadi agar adunan sekata / tidak berketul.
  4. Panaskan kuali dan sendukkan better ke dalam kuali dan ratakannya.
  5. Apabila masak, angkat dan masukkan inti. 
  6. Gulung, lipatkan bahagian tepinya dan gulung hingga kemas.
  7. Buat sehingga selesai dan hidangkan.

Better untuk ketayap 

Kulit yang sudah masak 

Letakkan inti di bahagian hujung 

Gulung, lipat ditepi dan gulun sampai habis

Nyummy..



Mai sepinggan!!


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...