Sunday 30 December 2012

RENDANG AYAM

Salam... sudah hampir hujung 2012... sibuk sangat. Ucapan tahniah  untuk Tilah dan Ijai  kerana kelahiran cahaya mata yang comel...

Untuk menutup tirai  tahun lama, kita masak yang "renyah" sikit... maklumlah, nak makan-makan sambil menunggu detik 12 malam, untuk Aieshah, aku dah bake muffin strawberi, muffin coklat & muffin orange. pilih lah yang mana...

Di samping itu aku rasa rendang ayam untuk makan tengah hari sebagai lauk, ok kot....

Jom kita ber "rendang ayam"...resepi ni aku dapat dari jiran sebelah rumah semasa di No 44, Lorong Kenanga. Jiran  ni orang Bukit Tinggi, Padang... beliau tidak kedekut mengajar masak...

Sebenarnya nak buat apa kedekut, bukan boleh bawa mati... ilmu baik kita kongsi supaya supaya tidak luput ... Kalau ada sesiapa yang nak try resepi-resepi yang aku ada, silakan...

Semua resepi  ini  aku dapat samada dari kelas masakan yang aku ikuti, dari emak dan mertua, saudara mara, jiran atau  paling teruk ialah "Xperimen" yang tidak jemu-jemu..... Aku bangga kerana dapat masak tanpa menggunakan serbuk perisa atau ajinomoto..

Rendang Ayam
Jom tengok resepi rendang ayam ...

Bahan-bahannya:

2 ekor ayam ( potong 12)
1 kg santan pekat (3 biji kelapa)
20 biji cili kering ( dimesin- kalau nak  pedas tambah  cili padi)
3 inci halia - dimesin
3 inci lengkuas- dimesin 
8 batang serai - dimesin
5 labu bawang besar - dimesin
15 ulas bawang merah - dimesin
3 labu bawang putih - dimesin
6 helai daun kunyit - dimesin
6 helai daun limau purut - dimesin
6 helai daun salam - dimesin
garam secukup rasa  
Gula secukup rasa (jika suka) 
1 cawan minyak untuk menumis

Cara menyediakannya:
  1. Panaskan minyak ke dalam kuali dan tumis cili merah sampai masak.
  2. Masukkan semua bawang yang dimesin dan kacau.
  3. Masukkan semua bahan-bahan lain yang dimesin.
  4. Masukkan santan dan kacau, apabila menggelegak dan agak pekat, masukkan ayam.
  5. Kacau dan masukkan garam secukup rasa.
  6. Masak sehingga kering.
  7. Angkat & hidangkan.
Cili dan semua bahan yang dimesin

Masakkan ayam sehingga kering


Siap dihidang.. 


Mai  Sepinggan !!



PENGAT NANGKA

Pengat.... biasanya aku panggil "serawa" merupakan pencuci mulut /dessert yang aku suka. Pengat yang sedap sepatutnya terasa lemak, masin dan manisnya. Bau wangi daun pandannya serta manisnya gula tebu atau gula melaka....opppss.... sagunya, jangan lupa!!

Dalam banyak-banyak pengat, aku suka pengat nangka....aduihh.. sedapnya!!

Jom buat pengat nangka!!

Bahan-bahannya:

1 liter santan
10 ulas nangka ( aku suka buang bijinya)
2 keping gula melaka
2 sudu gula putih (ikut rasa)
garam secukup rasa
3 sudu besar sagu mata ikan- warna putih (direndam)
1 helai daun pandan

Cara menyediakannya:
  1. Masukkan santan ke dalam periuk, nangka, daun pandan dan masakkan.
  2. Masukkan pula gula merah dan putih secukup rasa.
  3. Masukkan garam secukup rasa.
  4. Toskan sagu dan bila santan hampir mendidih, masukkan sagu.
  5. Bila masak, angkat dan hidangkan...
Nota: kalau suka makan pengat ini sejuk-sejuk, sejukkan dulu dalam peti ais.




Mai Sepinggan !!

Saturday 29 December 2012

CAJUN ROAST CHICKEN

Cajun Roast Chicken has been a favorite of my family.
It is tender and juicy ..... and will be a wonderful weekend dinner when accompanied with mashed potatoes and salad.

Well, I'm happy to share this recipe ~ from my cooking class & it is very simple...

Jom make Cajun Roast Chicken .....

Perfect for dinner :)


Opps... Turkey!!

Ingredients:

1 nos Whole chicken 
1 tbsp Salt
1 tbsp Black Papper
1 tbsp Thyme
1 tbsp Caraway Seed
1 1/2 Hot Paprika
1 tbsp Mustard
1 tbsp Rosemary
1 nos Bay Leaves
1 tbsp Oregano
1 tbsp Lea & Perrins
2 Tbsp Oil
2 nos  lime  juice
1 nos onion wedges

Method:

  1. Clean chicken and pat dry.
  2. Mix all the ingredients in a bowl, except onions.
  3. Generously rub the body and cavity with the merinade.
  4. Leave to merinade overnight.
  5. Place chicken with onion wedges on baking pan and bake for 1/2 an hour. (wrap with aluminium foil 1/2 an hour & unwrap for browning and bake for 1/2 an hour).

  chicken parts @ whole chicken ??

Well done !!

Yummy!!

Sauce:

Remove chicken from roasting pan, add half cup of water and bring to a boil. Set aside, when cool down remove fat and add one tsp chicken stock,  1 tbsp  papper, 1 tsp flour, 1 tbsp butter , & whisk the paste, into simmering mixture, add a few drops of lemon juice, salt and papper to taste. Cook till thickens into a gravy or smooth paste.




Mai Sepinggan !!


Thursday 27 December 2012

PULUT UDANG @ PULUT PANGGANG

Pulut udang - orang Perlis panggil ... setengah orang panggil Pulut Panggang!

Belum lagi aku bertemu @ jumpa dengan pulut udang yang selazat serta seenak pulut udang yang disediakan oleh emak aku semasa dulu-dulu.

Zaman dulu kalau ada parti atau jamuan hujung tahun di sekolah, maka emak akan sediakan pulut udang untuk kami bawa ke sekolah. Aroma daun pisang yang dibakar menjadikan teringat-ingat teringin sangat nak buat ....

Pulut Udang 
Bahan-bahan :

1/2 kg beras pulut
1 biji kelapa - ambil santan pekat
garam secukup rasa
Daun pisang untuk membalut 
Lidi kelapa untuk semat hujung pulut 

Cara Membuatnya:
  1. Kukus pulut sehingga masak.
  2. Ambil pati santan dan gaulkan dengan pulut semasa panas-panas.
  3. Sendukkan pulut dan letak di atas daun pisang, letakkan intinya.
  4. Sematkan di kedua-dua hujungnya dengan daun pisang.
  5. Bakar di atas bara api sehingga masak.
Inti Pulut Udang

Bahan-bahan:


5 sudu besar udang basah yang kecil-kecil (atau boleh guna udang kering)
 @ udang sawah kalau ada(?)
6 biji cili kering 

1/2 biji kelapa parut (putih sahaja)
1/2 sudu teh jintan manis
1/2 sudu teh kunyit 
5 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
2 batang serai
garam secukup rasa
gula secukup rasa

Cara membuatnya:
  1. Bersihkan udang basah dan rebus dengan sedikit air (perisakan dgn sedikit garam).
  2. Tumbukkan cili kering dan  jintan putih
  3. Masukkan  bawang merah, bawang putih dan  serai sehingga halus. 
  4. Masukkan kelapa parut, serbuk kunyit, garam dan gula secukup rasa.
  5. Masukkan udang yang sudah direbus dan gaul sehingga sebati. 
  6. Masukkan semua bahan kedalam kuali, goreng tanpa minyak sehingga kering airnya.
  7. Angkat dan sejukkan & masukkan ke dalam pulut serta bungkus.
Inti pulut udang



Note:

1. Kalau guna udang kering , kurangkan garam- sebab udang dah masin.
2. Rendam udang kering itu,  tumbuk, lepas tu campur bersama inti tadi.



Mai Sepinggan!!


AYAM PENYET


Rangup diluar & lembut di dalam....
Ayam Penyet?
Hari ini kita kita buat ayam penyet nak??? Rata-rata orang cerita pasal ayam penyet... makanan orang Jawa, katanya dari Surabaya. 
Apa dia orang penyet-penyet ayam sebelum digoreng atau selepas digoreng.... ha ha ha... Macam mana nak penyet-penyet ayam ni?  Ayam penyet ni  katanya ayam goreng, sebelum digoreng diketuk-ketuk dulu..dan dihidangkan bersama serdak-serdaknya / kremes.. dan tauhu  serta tempe yang digoreng dimakan bersama sambalnya dan ulam-ulam (lalapan).  Ayam goreng laaaaa..........
Kalau pembantu saya makan ayam atau ikan, dia akan oles dengan "cobek" nya sampai ayam atau ikan tu "terpenyet" !!
Sekali makan ayam penyet ni masa pi Jakarta, di sana kebanyakkkannya dia guna ayam muda. Dengan pertolongan pembantu rumah yang bertungkus lumus membantu, maka terhasillah ayam penyet versi kita orang ikut selera kita orang.... 

Jom kita masak Ayam Penyet!!
Bahan-bahan :

1 ekor ayam
1/2 sudu teh ketumbar
1/2 sudu teh jintan manis
5 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
4 biji buah keras
1 sudu teh kunyit
2 cawan tepun jagung + 1/2 cawan tepung ubi + garam 
buat batter dengan sedikit air 
minyak untuk menggoreng 
                 
Cara menyediakannya:
  1. Tumbuk  ketumbar, jintan manis, bawang merah, bawang putih buah keras.
  2. Perapkan ayam dengan bahan yang ditumbuk dan kunyit. Perisakan dengan garam dan biarkan 30 minit.
  3. Kemudian, masak ayam  dengan api perlahan hingga air kering airnya dan sejukkan.
  4. Ambil tepung dan bancuh dengan air & dan masukkan ayam bersama rempahnya sekali.
  5. Goreng ayam sehingga kekuningan dan hidangkan bersama sambal, tahu, tempe, kicap manis serta lalapan.
Ayam Penyet, Tempe Penyet & Tauhu Penyet


Sambal Ayam Penyet 

Bahan-bahannya:

2 biji cili merah
5 biji cili padi
1 biji tomato
5 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
2 buji limau kasturi
3 sudu besar ikan bilis (agak segenggam)
1 inci belacan
gula melaka dan garam secukup rasa
3 sudu besar minyak untuk menggoreng

Bahan untuk sambal 
Cara menyediakannya :
  1. Goreng bahan di atas dengan minyak kecuali gula dan garam.
  2. Angkat, sejukkkan dan tumbuk sehingga halus (blend lebih mudah).
  3. Masakkan semula  dalam  kuali.
  4. Masukkan gula merah dan garam.
  5. Angkat dan hidangkan bersama ayam penyet tadi.


sambal ayam penyet 

Nasi & Ayam penyet



Mbok Berek  Ny Umi  Ayam Desa Masuk Kota
semasa jalan-jalan cari Ayam Penyet ...
  






Mai Sepinggan !!
Empuk, Gurih, Lezat ...



Wednesday 26 December 2012

PULUT LEMAK DURIAN & MANGGA

Hai.... pagi-pagi dah teringat Pulut Lemak! 

Kalau negeri-negeri utara Semenanjung, pulut lemak ini ialah pulut yang dikukus dan kemudiannya diletakkan santan. Biasanya pulut lemak ni orang buat makan pagi atau makan malam.

Kalau siapa-siapa yang pernah menetap di negeri Perlis atau Kedah mungkin tahulah macam-mana nak "perkena" pulut ini. 

Pulut Lemak 

Paling best pulut lemak ini  dimakan dengan durian atau mangga masak (mempelam). Kalau di Perlis sudah tentulah HARUM MANIS. Sedap hingga menjilat jari.

Satu hari aku bawa pulut lemak ke tempat kerja, dan bersamanya ialah Mempelam ?Mangga HARUM MANIS. Bila buka tupperware je, ada kawan, Haslina dari Melaka tanya,  "Apa tu kak?"  "Mempelam, makan dengan pulut".... "eeee tak pernah orang buat kak..."

Pernah atau tak pernah, jawabnya selepas tu LICIN !!

Jom makan Pulut Lemak dengan Mempelam Harum Manis Perlis & durian!!

Bahan-bahan:

2 biji mempelam Harum Manis  masak  ( Hah.. sekarang ni kat Bukit Bintang, Kangar 1 kg = RM17.)
atau 
2 biji durian - pilih yang isi sedap ( musang King ??)
1 kg beras pulut - direndam 20 minit ( aku selalu guna pulut susu)
250 gm santan pekat
garam secukup rasa
2 helai daun pandan 

Cara penyediaannya :
  1. Sediakan pengukus bersama air untuk mengukus pulut.
  2. Toskan beras pulut yang direndam dan masukkan ke dalam pengukus bersama daun pandan.
  3. Kukuskan pulut selama 10 minit atau sehingga masak.
  4. Sementara itu campurkan santan pekat dengan 500 ml air serta garam secukup rasa dan panaskan hingga mendidih.
  5. Angkat pulut yang dikukus dan gaulkan dengan santan sehingga sebati.
  6. Angkat dan hidangkan bersama mangga masak atau durian.
Durian 

Harum Manis Perlis

Mai Sepinggan !!






Tuesday 25 December 2012

DURIAN - KUAH DURIAN - PENGAT DURIAN..

Durian - Durian - Durian.
Mana-mana pergi sekarang penuh dengan durian.. Pergi pasar malam, pasar tani, Giant, tepi jalan, tepi highway, tepi kedai mamak tak habis-habis durian..

Durian- ada yang makan durian saja, ada yang makan durian dengan nasi, ada yang makan dengan pulut, ada yang buat cokodok durian, ada yang buat pengat durian, ada yang buat crepe duruian...


Durian Runtuh !!




Musang King 

Bagi aku, durian ni bestnya makan begitu saja... atau dengan nasi... atau dengan pulut... atau buat pengat !!

Kalau dah tak larat makan, boleh simpan dalam freezer tunggu musim tak ada durian baru bawa keluar... atau bikin tempoyak !!

Hari ini aku nak kongsi resepi kuah durian @ Pengat Durian yang biasa aku buat..

Jom buat Pengat Durian!

Bahan-bahan:

2 mangkok isi durian
250 gm santan pekat
1 liter air 
3 keping gula melaka
3 sudu gula putih ( suka hati - kalau tak mau manis, kurangkan gula)
garam secukup rasa
1 helai daun pandan

Cara-cara Penyediaannya:
  1. Masukkan durian, daun pandan, gula dan air ke dalam periuk dan masakkannya.
  2. Apabila mengelegak masukkan santan.
  3. Masukkan garam secukup rasa.
  4. Apabila masak, angkat dan hidangkan bersama roti bakar atau kueh jala..








Mai Sepinggan !!




Sunday 23 December 2012

KUEH MAKMOR


Makmor yang sudah disalut icing
Kueh Makmor adalah sajian tradisi keluarga. Tidak lengkap juadah  hari raya kalau tidak ada Kuah Makmor ni. Resepi ini aku dapat diperturunkan dari generasi ke generasi. 

Kadang-kadang Makmor ini dijadikan juadah untuk hantaran... 

Nak buat Makmor?  JOM tengok resepi yang diberikan oleh Bonda Aziah Abdullah kepada anak-menantu serta cucu-cucu beliau

Bahan-bahan :
3 cawan tepung gandum
1 cawan tepung ubi
1/2 cawan tepung kastad
3/4 cawan gula ising
250 gm minyak sapi 

Inti :
Goreng kacang tanah tanpa minyak ditumbuk dan diperisakan dengan garam dan gula.

Cara membuatnya:
  1. Campurkan tepung gandum dan tepung ubi dan tepung kastad.
  2. Campurkan minyak sapi dan gula icing serta tepung - gaul sehingga sebati.
  3. Bentukkan dan masukkan inti kacang.
  4. Bakar dalam oven 180' selama 12 minit
  5. Angkat, sejukkan dan gaulkan dengan gula icing.

Makmor ... Sedap !

Makmor yang sudah belum dibakar

Kuah Makmor dihidang bersama kueh raya yang lain ..


Mai Sepinggan !!







Saturday 22 December 2012

BIRYANI MUAR : Jalan-Jalan cari Makan

Musim cuti hujung tahun ,  adalah yang paling seronok  sebab dapat jalan-jalan cari makan sama ada dalam negeri atau luar negeri, dekat mahu pun jauh & KITCHEN CLOSED !!

Semasa dalam perjalanan ke Johor Baharu, dapat juga singgah di Muar ( MUO) mencari Biryani.... orang kata Biryani Muar sedap... masuk saja daerah Muar, kami pun mulalah bertanyakan orang ramai di mana nak dapat BIRYANI yang paling sedap. Sememangnya lain orang lain cita rasanya, maka ramai yang memberikan tempat-tempat biryani .... jalan punya jalan, aku rasa aku jumpa Biryani yang sesuai dengan selera aku iaitu di PESERAI, MUAR.


Kompleks Niaga Peserai, Muar.

Di sini ada banyak stall yang menjual Nasi Biryani, namun yang dapat aku masukkan dalam senarai terbaik hanyalah satu Gerai No 13 dan 14 Mohd Shah Nasi Baryani!!


Nasi Biryani Mohd Shah yang sedap terdapat di sini !
Walaubagaimana pun, aku rasa Biryani yang dimasak oleh sahabat /jiran aku iaitu Suhana & Seeraj, paling sedap.   Suhana berasal dari India dan telah berkahwin dengan Seeraj dan menetap di sebelah rumah aku. Dia selalu masak Biryani,  ini lah the best ever Biryani !! Sebelum Suhana berpindah balik ke Singapura, dia telah mengajar aku masak Biryaninya. 

Hingga kini sudah 13 tahun kami tidak bersua... Thank you very much Sister!!

Jom masak Biryani  Resepi Suhana !!

Bahan-bahannya:

2 ekor ayam ( potong 4) @ boleh guna kambing
6 ulas bawang besar - hiris-hiris
1/2 inci halia - tumbuk
4 ulas bawang putih - tumbuk 
5 biji tomato - potong 4
5 biji cili merah - potong 4
2 helai daun pandan -  ikat / simpulkannya
1 batang serai - diketuk
50 Sen daun ketumbar -  dibersihkan & potong 3
50 sen daun pudina - dibersihkan & potong 3
4 sudu besar dadih (plain )
1 biji lemon - diambil jusnya 
3 sudu besar minyak sapi (aku suka QBB)
6 sudu besar minyak jagung
1 tin kecil tomato puree
1/2 tin susu cair ( aku suka guna Ideal)
10 biji  biji gajus - kisar 
10 biji almond - kisar
2 sudu besar rempah kari

1 1/2 sudu besar rempah kurma
bunga lawang, kulit kayu manis, buah pelaga, secubit kunyit dan garam secukup rasa

Cara menyediakan Ayam Biryani:
  1. Panaskan minyak sapi & minyak jagung.
  2. Tumiskan bunga lawang,kulit kayu manis, buah pelaga, bawang besar serai, halia, bawang putih, serai dan daun pandan.
  3. Kacau hingga kekuningan & masukkan tomato, cili merah tomato puree sehingga naik minyak.
  4. Masukkan pula rempah kari dan rempah kurma, kunyit dan garam secukup rasa.
  5. Masukkan dadih dan jus limau.
  6. Masukkan ayam @ kambing @ daging @ Udang
  7. Kacau dan masak dengan api perlahan (simmer) sehingga ayam masak
  8. Apabila ayam masak, masukkan almond dan gajus yang sudah dimesin tadi.
Cara masak Nasi Biryani Dump:

Bahan untuk nasi

1 kilo beras Basmathi 
Air secukupnya
2  helai daun pandan 

Cara masak Nasi Biryani Dump:


  1. Masakkan air sehingga mendidih, masukkan daun pandan.
  2. Basuhkan beras dan toskan dan masukkan dalam air mendidih.
  3. Biarkan beras di dalam air sehingga 1/2 masak.
  4. Bila 1/2 masak, toskan beras yang separuh masak tadi.
  5. Sendukkan beras yang sudah ditos ke dalam periuk. Lapiskan dengan  Biryani Ayam, diikuti dengan ditaburkan daun ketumbar, pudina, dan susu ideal. 
  6. Ulang balik beras - ayam- daun ketumbar - pudina- susu ideal sehingga habis semua beras. 
  7. Percikkan perwarna orange dan safron.
  8. Tutup periuk dan biarkan sehingga nasi masak. 
Nota : 
  1. Elakkan dari kacau selalu untuk mengelakkan dari beras patas.
  2. Kalau buka tudung periuk, elakkan daripada ditimpa wap supaya tidak basi.
  3. Jika inginkan rasa & aroma nasi yang enak dan original, semasa dump nasi, kita gunakan arang.


Mai Sepinggan !!

We miss you Sis. Suhana.







Friday 21 December 2012

LEPAT LIAT




Lepat liat, boleh buat makan pagi atau minum petang... senang dan ringkas.
Biasanya terdapat di utara & kegemaran orang-orang vateren :)

Jom buat lepat liat pula hari ini... aku ikut resepi yang mak buat dulu-dulu..

Bahan-Bahannya:

2 cawan air
3 cawan tepung pulut
1/2 cawan gula pasir
1 cawan gula merah
1 1/2 santan pekat
daun pisang yang dipotong - ukuran 6 inci

Cara Membuatnya:

  1. Masak gula merah dan gula putih dengan 2 cawan hingga mendidih.
  2. Sejukkan & ketepikan dulu.
  3. Masakkan pula santan dalam periuk hingga mendidih.
  4. Campurkan santan dengan gula yang dimasak tadi ke dalam tepung & uli sehingga sebati.
  5. Ambil daun pisang dan balutkan dengan daun pisang sehingga habis adunan.
  6. Kukus sehingga masak.
  7. Hidangkan 

Nota : Kalau suka, kita boleh letakkan inti kelapa ditengahnya sebelum dibungkus..





Mai Sepinggan !!





Thursday 20 December 2012

KETAM MASAK LEMAK CILI PADI

Hai...... hari ini demam.. mmm demam...

Teringin nak makan masak lemak cili api ketam...  lemak + pedas + masam -masam sikit, letak mangga muda yang ada..

Ketam ada 4  ekor, berat-berat juga isinya penuh.... aku rasa  masak lemak cili api ni simple saja tapi sedap, mesti terasa pedasnya baru boleh kebah demam !



Sedapnya!!

Jom kita masak kertam masak lemak cili api !!

Bahan-bahannya:

4 ekor ketam ( ku pilih ketam bunga @ ketam renjong)
250 ml santan pekat ( ditambah dengan 100 ml air)
1 batang serai - diketuk
8 biji cili padi - ditumbuk
4 hiris mangga muda 
1 sudu teh kunyit
1 helai daun kunyit
garam secukup rasa

Cara penyediaannya:
  1.  Bersihkan ketam dan masukkan serai, cili padi, mangga muda, kunyit & daun kunyit bahan ke dalam periuk.
  2. Masukkan santan dan masakkan di atas api perlahan.
  3. Kacau selalu agar santan tidak berkepala/ minyak.
  4. Masukkan garam dan masak hingga mendidih dan ketam masak ( menjadi merah)
  5. Angkat dan hidangkan.






Mai Sepinggan !!



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...