Tuesday, 18 December 2012

ROJAK MADURA

Salam & Selamat Siang !!

Hari ini resepi baru untuk kita cuba... aku pun baru cuba makanan ini. Namanya ROJAK MADURA. Makanan ini disediakan oleh Lia.

Lia ni rajin & selalu rindukan makanan kampung halamannya. Jadi, aku pun carilah bahan-bahan serta alatan untuk dia melepaskan gian kepada masakan kampung halamannya.

Rojak Madura... mulanya aku ingat macam rojak buah atau rojak mamak yang kita selalu makan, tapi rupa-rupanya Rojak Madura ini rasanya lebih kurang "pecal" atau "gado-gado". Bezanya ianya disediakan segera & mesti makan segera.

Aieshah pun suka makan dan minta Kak Lia buat kan ...

Bahan-bahan nak buat Rojak Madura ini, kita boleh campur asalkan sesuai dengan selera masing-masing..

Alatan & bahan-bahan !


Soo Hoon  besar



Soo hoon dah dicelur



Petis


Cobek

Jom kita try Rojak Madura!!

Bahan untuk dioles/ digiling:

5 sudu besar kacang tanah digoreng tanpa minyak 
2 sudu besar petis madura /otak udang (petis)
6 biji cili padi (cabe rawit) - jika mahu pedas lebihkannya 
1/2 biji tomato (tomat)
3 ulas bawang -  di mayang & putih digoreng
gula merah secukup rasa 
garam secukup rasa

Bahan lain:

3 papan kacang panjang - dipotong & celur
2 tangkai kangkung - potong & celur
4 sudu taugeh kecil - dicelur
1  tahu  - digoreng
1 keping tempe - digoreng
timun - dipotong seperti nak buat rojak 
1 biji lontong ( nasi impit)
1 mangkuk soo-hoon besar direndam & dicelur 

Cara penyediaannya:
  1. Oles semua bahan yang disediakan untuk dioles dalam Cobek (Giling).
  2. Bila semua sudah hancur, perisakan mengikut selera.
  3. Campurkan & gaulkan  bahan yang dioles dengan bahan-bahan yang direbus & goreng.
  4. Siap & hidangkan.
                             
Rojak Madura




GURIH !!

Mai Sepinggan !! 


Monday, 17 December 2012

NASI LEMAK ASLI



Nasi lemak bungkus daun Pisang - aromanya sengguh enak !!


Hai semua... selamat pagi, hari ni masak nasi lemak untuk breakfast- daun pisang pun ada, boleh lah - nasi lemak daud n pisang...

Kalau masa nasi lemak ni, alamatnya tak lunch lagi la... mesti kenyang sampai ke petang.

Ada macam-macam cara orang masak nasi lemak, ada yang tanak & ada yang kukus. Aku suka nasi lemak yang tanak sebab nasinya kembang dan tak keras berderai seperti nasi kukus.

Satu lagi,  nasi lemak mesti lengkap dengan kondimennya - kacang, ikan bilis goreng, timun, telur, kangkung rebus dan yang paling penting sambal ikan bilisnya.  Kalau nasinya sedap, tapi sambalnya tak sedap... hancur!! 

Ini lah resepi nasi lemak aku yang emak ajar sejak kecil.

Jom masak..!!!


Savoury!!

Bahan-bahannya:

1/2 kg beras - dibersihkan / basuh 
3 ulas bawang merah -dimayang
2 ulas bawang putih - dimayang
600 ml santan 
8 biji lada hitam
1/2 sudu teh halba
2 helai daun pandan
garam secukup rasa


Cara penyediaannya:

  1. Sediakan semua bahan -  masukkan beras ke dalam rice cooker.
  2. Masukkan bawang, lada hitam, halba, daun pandan dan santan.
  3. Masukkan garam dan gula secukup rasa.
  4. Tanak  sehingga masak.
  5. Bila masak hidangkan dengan sambal bilis dan lauk-lauknya.





SAMBAL IKAN BILIS.

Bahan-bahannya:

100 gm ikan bilis
5 ulas bawang merah - tumbuk
3 ulas bawang putih - tumbuk
2 cawan cili kering sudah dimesin
1 labu Bawang besar - potong bulat
1 sudu besar jus asam jawa
garam & gula secukup rasa 

Cara penyediaannya:

  1. Panaskan minyak dalam kuali, tumis bawang tumbuk sehingga wangi.
  2. Masukkan cili kering mesin dan masak hingga naik minyak. Kacau sekali sekala.
  3. Apabila naik minyak, masukkan  jus asam jawa, garam & gula secukup rasa.
  4. Masukkan bawang besar dan ikan bilis,  kacau hingga masak. 
  5. Angkat dan hidangkan. Letak atas nasi lemak dan  dibungkus. 




Mai Sepinggan !!




Nasi lemak buah bidara
sayang selasih saya lurutkan

                                            

LEPAT LABU

Salam & semuga semua kenalan sentiasa bahagia...

Hari ini kita try resepi lepat labu. Lepat ni kita buat sarapan atau minum petang. Masa balik jumpa Kak Chaq, dia bersungguh-sungguh ajak buat lepat labu sebab kat rumah ada banyak labu. Labu ni boleh dibuat kueh atau di sayur...

Hari ni kita cuba buat lepat labu ikut Kak Chaq. Dia tak letak kelapa ditengah-tengah labu tapi dia guna santan...

Jom buat lepat labu!





Bahan-bahannya:

1/2 biji  labu  - direbus, toskan airnya dan dilenyet
3/4 cawan gula atau secukup rasa
2 cawan tepung gandum
1/2 cawan santan pekat
1 sudu kecil garam atau secukup rasa

Daun pisang (dipotong & dlayur diatas api )  untuk membungkus
Air dan periuk kukusan.


Cara penyediaan
  1. Masukkan labu, gula, tepung, santan dan garam ke dalam mangkuk dan gaul semua bahan hingga sebati.
  2. Sendukkan adunan lebih kurang 3 sudu besar adunan dan letakkan ke atas daun pisang. 
  3. Balut  dan lipat daun pisang  hujung daun pisang dengan kemas
  4. Aturkan ke dalam periuk kukus dan kukus selama 20 minit atau sehingga masak.


Labu dilenyek dan diadunkan 
bersama tepung, santan, gula & garam 

Jika suka boleh letak inti kelapa ditengah



Mai Sepinggan !



Sunday, 16 December 2012

KACANG PANJANG GORENG UDANG






Hari ini  aku  masak simple simple ...  Hari hujan..  Kacang panjang goreng sama udang pun dah kira ok.  Hidang nasi panas-panas  diiringi dengan sambal belacan dan ulam... Kira ok tu... menu orang biasa-biasa yang simple tapi sedap..

Jom masak  kacang panjang goreng dengan udang basah.

Bahan-bahannya:

8 papan kacang panjang - dipotong
8 ekor udang kertas - dibersihkan 
2 ulas bawang merah - ditumbuk
2 ulas bawang putih - ditumbuk
1 biji cili besar merah - dihiris serong
secubit kunyit, minyak untuk menumis
garam secukup rasa




Cara-cara memasaknya:

  1. Panaskan minyak dalam kuali dan tumis bawang merah dan putih.
  2. Masukkan udang dan kacang panjang & sedikit air untuk melembutkan kacang.
  3. Kacau sehingga layu & masukkan cili merah serta perisakan dengan garam secukup rasa.
  4. Angkat & hidangkan.


Mai Sepinggan !!


Saturday, 15 December 2012

SPAGHETTI BOLOGNESE !!


SPAGHETTI  ala  MARYATI - Bolognese





Salam semua......hai! hai !!

Cerita pasal spaghetti pula hari ini. Setakat ni aku berpuas hati dengan resepi sos spaghetti yang dicipta berdasarkan selera sendiri.. Aku gerenti sesuai dengan selelera aku...ada masam, pedas dan manis secukup rasa. Pendek kata "perfect" mengikut ukuran aku sendiri. ISO aku sendiri sebenarnya bukan calang-calang sebab bab menyediakan makan & minum aku sangat cerewet.. 

Tilah, Linda, Adun, Along, Angah,  Aieshah, Gina, Aliff, Sai memang tak akan tolak kalau   dihidangkan dengan spaghetti ni ...

Tilah dah banyak kali minta resepi ni dimuatkan ke blog ni ... tapi nak buat lagu mana chek oi, kita ni pun sibuk juga... bukan dok mengadap benda ni je :)

Jom masak spaghetti ala maryati - Bolognese !


Bahan-bahannya:

1 kilo daging kisar
6 biji tomato - belah empat& buang biji
8 ulas bawang putih - kupas je tak perlu potong
2 labu bawang besar  - potong dadu
1 tin tomato puree
1 senduk cili kering - dimesin 
2 helai daun bay
1 batang karot - dipotong dadu & rebus sampai empuk & simpan airnya
8 biji cendawan butang - dihiris
garam, gula, lada sulah secukup rasa.
1 cawan minyak 


daging kisar sendiri!





tomato, karot, cendawan




lazat & berkhasiat..


Cara-caranya:
  1. Panaskan minyak dalam kuali & saute bawang putih & bawang besar.
  2. Masukkan cili mesin dan masak sampai naik minyak.
  3. Masukkan  tomato, tomato puree.
  4. Masukkan daging dan kacau sehingga sebati. 
  5. Masukkan karot bersama airnya, cendawan dan biarkannya mereneh.
  6. Masukkan garam, lada sulah, gula secukup rasa hingga masak.
  7. Rebuskan spaghetti dalam air sehingga lembut. Angkat & toskan.
  8. Hidangkan spaghetti dalam pinggan & letakkan kuah di atasnya...


Nota :
  1. Kalau rebus spaghetti, jangan sampai kembang.
  2. Suaikan rasa mengikut selera anda... jika mau pedas lebihkan cili @ lada.
  3. Kalau tak suka masam, kurangkan tomato @ tomato puree.







Mai Sepinggan !!


“...no one is born a great cook, one learns by doing.” 
                                                   - Julia ChildMy Life in France

CURRY PUFF - KARIPAP - CURRY PUFF



Menu minum petang hari ini ialah dengan Karipap....... pakar buat karipap ini dulunya ialah dik Na. Dia buat karipap untuk jualan.... karipap yang dia buat rangup dan banyak inti. Biasanya kalau kami balik kampung, sarapan pagi dengan karipap dan kueh-mueh yang dibuat dik Na.

Anak aku pulak pelik sikit, minta buat karipap yang tak letak inti (?)... Kalau ada inti,  dia akan korek semua inti dan makan kulit nya saja... adui!!


Pilihla je nak inti apa, daging? ayam? telur? kentang..?




Karipap inti daging

Jom buat karipap!

Bahan-bahan:


Kulit karipap


(A)
1/2 kilo tepung gandum
50 g tepung beras (anggaran dalam satu senduk penuh nasi)
50 g tepung ubi (anggaran dalam satu senduk penuh nasi)

(B)
2 - 4 Sudu makan marjerin atau butter juga boleh digunakan - dicairkan
1/4 cawan minyak masak

Garam secukup rasa
Air suam untuk menguli - yang telah dicampur garam diatas

Cara-caranya:

  1. Ayakkan kesemua bahan A ke dalam mangkuk  adunan.
  2. Masukkan bahan (B) dan digaul rata/sebati sehingga menjadi seperti serbuk roti yang halus.
  3. Uli adunan serbuk roti tadi,  masukkan sedikit demi sedikit air suam yang bercampur garam ke dalam adunan sehingga menjadi doh lembut dan kenyal. 
  4. Pastikan ianya tidak melekit di tangan dan dinding bekas adunan, jika melekit tambah sedikit tepung dan diuli sedikit.
  5. Rehatkan doh tadi selama lebih kurang 1/2 jam dengan menutup bekas dengan kain maslin.
  6. Keluarkan adunan uli sekejab,  terapkan.
  7. Letakkan inti dan goreng dengan api sederhana.


Intinya:



100 gm daging @ ayam @ udang - basuh, cincang dan perasakan 

2 biji kentang - potong dadu
2 sudu besar serbuk kari daging - bancuh dengan sedikit air menjadi pes
1 ulas bawang besar - potong dadu
2 ulas bawang merah - mayang / tumbuk
1 tangkai daun kari
2 sudu besar minyak masak
1/4 cawan air sejuk 
garam secukup rasa





Caranya:


  1. Panaskan minyak dalam kuali dan tumis bawang merah sehinggga kekuningan.
  2. Masukkan daging, kentang dan air, masak   sehingga empuk.
  3. Masukkan daun kari dan pes kari dan kacau sehingga masak.
  4. Angkat dan sejukkan. 

Nota: 

Semasa menggoreng pastikan minyak tidak terlalu panas kerana ia akan menjadikan kulit karipap menggelembong & tidak cantik. 




Mai Sepinggan !!

Selamat Mencuba & Jangan Putus Asa...

BURUNG PUYUH GORENG KUNYIT

Hai... hari ini nak masak apa pula ya?? Pagi-pagi tadi pergi  pasar tani nampak orang jual burung puyuh.... gemuk-gemuk juga  fresh - bukan frozen punya!! Tiga ekor RM12.... 



3 ekor RM12 siap disembelih

Orang kata burung puyuh ni sangat berkhasiat kerana ianya kurang lemak dan rendah kolestrol. Dagingnya juga halus dan manis... Nak masak apa dengan burung puyuh ni??? Tak payah  susah-susah.... goreng kunyit pun dah cukup sedap.... 


Daging puyuh goreng berkunyit

Jom kita buat goreng burung puyuh berkunyit hari ini ..

Bahan- bahannya:-

4 ekor burung puyuh - potong 4 & bersihkan
garam secukup rasa
1 1/2 sudu besar  serbuk kunyit 
1 sudu teh jintan manis - tumbuk 
2 labu bawang besar - potong bulat
2 biji chili besar merah - potong serong
minyak untuk menggoreng 

Cara memasaknya:-
  1. Perapkan daging burung puyuh dengan garam, kunyit dan serbuk jintan manis.
  2. Panaskan minyak dalam kuali & goreng sehingga kekuningan.
  3. Gorengkan bawang besar  & cili besar.
  4. Angkat & hidangkan.

Mudah & lazat 

Mai Sepinggan !!


 Burung puyuh burung taktibau 
Terbang tinggi  si burung bayan,
Di dalam kilat ada kilau,
Rupanya awan  mengandung hujan..

                                                              - Pantun Melayu

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...