Thursday 27 June 2013

KUNYIT SERBUK

Syukur... setiap kali nak masak, bekalan kunyit serbuk sentiasa ada. Semenjak dahulu kala, aku menggunakan serbuk kunyit yang buat sendiri....kalau time malas-malas, minta aja kunyit yang emak buat atau mintak dari Kak Chaq di Kangar. 

Pendek kata, kalau namanya kunyit serbuk, kita orang tak beli. Tanam sendiri, mesin sendiri... 

Keistimewannya kunyit serbuk buatan sendiri tak mungkin ada campuran bahan lain. 

Kalau di Chow Kit, kunyit serbuk ni sekilo RM17.00. 

Cara-cara nak buatnya senang saja:

Kunyit hidup dibersihkan 


Dihiris nipis dan di jemur sehingga kering

Diblender sehingga halus


Disimpan dalam bekas kedap

Note:
Kali ni banyak sangat kunyit, tak larat nak blender... jadi aku hantar ke kedai mesin rempah di Chow Kit, kena lah bayar RM3.00 sekilo :)

Tapi tak pa, puas hati !!


Mai Sepinggan !!

Wednesday 26 June 2013

JERUK MAMAN

Salam... jeruk maman !! 

Hmm kalau orang Korea ada kim chi, orang Perlis ada jeruk maman. Jeruk maman ini dibuat daripada daun maman, sejenis tanaman/ sayur atau orang putih panggil Spider Flower. Ada dua jenis pokok maman, satu maman merah dan satu lagi maman putih.

Kalau di negeri-negeri utara, maman ini biasanya dijeruk. Paling aku suka ialah maman merah. Rupanya cantik dan rasanya sedap.

Aku belajar buat jeruk maman ni dari emak dulu... emak turunkan ilmu masak ni kepada anak-anaknya semasa kami membantu memasak di dapur...hari ni mak dah tak ada, Rindunya dengan emak... Al Fatihah!!

Jom buat jeruk maman...

Bahan-bahannya: 

Daun Maman
2 ikat daun maman - pasar tani RM3.00
1 senduk nasi sejuk
1 sudu besar garam
2 cawan air

Cara menyediakannya:

  1. Bersihkan dan basuh daun maman, kemudian keringkan.
  2. Mesinkan/blenderkan nasi sejuk bersama air tadi sehingga halus - tapis.
  3. Masukkan daun maman ke dalam balang, curahkan air nasi tadi ke atasnya.
  4. Tutup dengan rapi dan peramkan selama 3 hari.
  5. Siap & hidangkan bersama hirisan bawang merah atau bawang besar serta cili padi.

biarkan daun maman layu 

Masukkan ke dalam balang kaca bersama air nasi

Tutup dengan rapi dan peramkan selama 3 hari


Sepelas 3 hari 

Siap dihidang bersama hirisan bawang dan cili padi
nyummy..


Mai Sepinggan !!


Monday 24 June 2013

SAMBAL TUMIS IKAN SARDIN

Sambal tumis ikan sardin adalah masakan paling mudah dan sedap. Kalau kat Perlis sambal tumis ikan sardin dibuat dan dijual bersama nasi lemak. Masa sekolah dulu, nasi lemak lauk sambal ikan sardin yang dijual di warung  dekat stesen keretapi Arau sangat sedap. 

Last sekali aku merasa nasi lemak sambal sardin ialah tahun 2009 dulu. Kenangan yang tak dapat dilupakan..

Sambal tumis ikan sardin 



Bahan-bahannya:

1 tin sardin 
20 biji cili kering  - dikisar
2 labu bawang besar - dipotong bulat
3 ulas bawang merah - tumbuk
3 ulas bawang putih  - ditumbuk
3 sudu besar air asam jawa
garam secukup rasa
minyak masak  secukupnya untuk menumis


Cara-cara menyediakannya:

  1. Tumis bawang tumbuk kedalam kuali sehingga kuning.
  2. Masukkan cili kisar & masakkan sehingga naik minyak.
  3. Masukkan  ikan sardin, air asam, bawang besar dan garam secukup rasa.
  4. Apabila bawang hampir masak, tutup api, angkat dan hidangkan.



Mai sepinggan !!





Sunday 23 June 2013

ROJAK BUAH

Rojak Buah ... senang saja nak buat. Kalau beli memang mahal... 

Aku suka rojak buah ..kadang-kadang nak pelbagai, boleh di tambahkan tahu goreng dan kangkung rebus... Sedap & menyihatkan..



Rojak buah dicampur dengan kangkung


Buah-buahan, ikut yang kita suka 



Bahan-bahan ini boleh dicampur kemudian 

Bahan-bahannya untuk  kuah rojak:

10 tangkai cili cili kering
1 inci belacan bakar
3 sudu air asam jawa
3 sudu besar petis
3 sudu besar gula melaka -cincang @ gula merah
garam secukup rasa
2 sudu besar kicap pekat manis
1/2 cawan agar-agar - dicairkan 

*  campurkan bahan di bawah selepas dimasak 

1/2  kacang  tanah (digoreng tanpa minyak & tumbuk)
1 sudu besar bijan - goreng tanpa minyak 

Cara menyediakannya:

  1. Cili goreng  kering dan belacan di  goreng dengan sedikit minyak, kemudian dimesin.
  2. Campurkan semua bahan dan masakkan dengan 3 cawan  air
  3. Masukkan agar agar-agar untuk memekatkannya.
  4. Angkat dan sejukkan & masukkan kacang dan bijan.
  5. Hidangkan bersama buah-buahan seperti nanas, sengkuang, mangga muda, jambu, kedondong yang dipotong.

Rojak buah kegemaranku 




Mai Sepinggan !!


Wednesday 19 June 2013

SAYUR BENING JAGUNG

Hello.. apa khabar semua rakan dan taulan? Mudah-mudahan semuanya berada dalam kesihatan yang baik serta mendapat kerahmatan daripada Nya sepanjang waktu.

Peluang dan rezeki untuk melancung sekali sekala ke negeri orang telah  memberi peluang kepada saya membuka minda untuk menjamah dan merasai berbagai jenis makanan negara-negara lain. Baru-baru ini aku ke Bandung apalagi, makanan Sunda tak sah kalau tak ada sayur bening...

Hari ini, aku terasa nak masak sayur bening jagung dengan kacang panjang dan bendi...apa aja yang ada dan aku buat mengikut selera aku - campak-campak, akhirnya... sedapnya... berkhasiat pulak tu !!

Bening jagung dan sayuran 

Bahan-bahannya:

1 tongkol jagung manis ( dipotong empat)
1 ulas  bawang merah - dimayang
3 ulas bawang putih - dipotong
4 biji bendi - dipotong
4 papan kacang panjang - dipotong
1 inci karot - dipotong
1 biji tomato - dipotong 4
2 biji cili kering
secubit jintan manis
sedikit bayam, jika suka.
garam secukup rasa
jika suka mangga muda sehiris

Caranya:

  1. Masukkan 600ml air ke dalam periuk dan masakkan.
  2. Masukkan jagung dan biarkan sampai mendidih.
  3. Masukkan semua sayuran dan jintan manis serta garam secukup rasa.
  4. Biar sampai masak tetapi jangan layu.
  5. Angkat dan hidangkan :)
Sedap sangat !!






Mai Sepinggan !!




Saturday 8 June 2013

CROUTONS - make your OWN CROUTONS !

Hmm.. Croutons... I always make  my own croutons, always! Homemade croutons are so much better compared to the ones in boxes, on the shelf.

It's really easy and they are sssssssoooooo gooooooodddddddddddd :) :)

Homeade croutons with  carotino oil

Ingredients: 

1 baguette/ bread 
10 tbsp carotino oil + 4 garlic cloves ( minced )

Method:

1.  Cut the bread into even sized cubes. The bread should be a little dry ( I used left over bread )









2. Mix them up with carotino oil  so they are lightly coated.






3.  Spread the cubes out on a baking tray.




4.   Bake in the oven 180' for 10 mins or when they start to brown, lift them up and turn them over.

5.   Wheh the croutons are ready, remove from oven and let cool completely before putting in airtight container. Otherwise the steam released from the warm cruotons will take away the crunch.





Mai Sepinggan !!

Wednesday 5 June 2013

PASTA - FUSILLI dengan CENDAWAN

Hello... hari ini kita  bertukar selera BERPASTA seperti orang Itali.. Kalau sesiapa berminat dengan Fusilli masak dengan cendawan, kita boleh cuba. Pasta ini hanya menggunakan cendawan semata-mata , jadi hari ini kita boleh kira vegetarian ....

Bahan-bahannya:

225 gm cendawan -  kita beli fresh cendawan atau yang  kering kenalah  rendam sehingga kembang 
1 sudu teh  thyme fresh dicincang - boleh beli kat cold storage / tesco pun ada
1 sudu teh oregano fresh dicincang 
4 ulas bawang putih salai - diketuk
350 gm fusilli
200 ml krim masak 
garam dan lada hitam secukup rasa
sedikit minyak untuk menumis (resepi asal pakai butter)

Cara menyediakannya:
  1. Panaskan minyak/ butter, masukkan bawang putih diikuti dengan cendawan.
  2. Masakkan dan kacau selama 10 minit - api sederhana sehingga cendawan lembut.
  3. Masukkan garam, lada dan oregano serta thyme.
  4. Isikan air dalam periuk lain untuk masak pasta - ikut saja arahan di kotak/ bungkusan fusilli.
  5. Bila pasta sudah masak, tapiskan ke dalam mangkuk.
  6. Bila cendawan sudah masak, kuatkan sedikit api dan masukkan krim kacau hingga menggelegak.
  7. Angkat dan tungkan ke atas pasta dan taburkan thyme dan oregano yang lebih sebagai hiasan.
  8. Hidangkan.

Fusilli dengan cendawan

Mai sepinggan !!

SUP TULANG - SUP DAGING

Sup daging - sup tulang !! Wow kalau kita  sediakan sendiri rencah atau rempah ratusnya sangat best, bukan saja kerana rasanya tapi juga baunya yang wangi. Campuran kulit kayu manis, bunga cengkih, buah pelaga ditambah dengan bawang goreng yang asli menaikkan kewangiannya.

Dulu-dulu emak akan masak sup bila dapat tulang lembu yang baru... biasanya kalau hari raya korban atau hari raya aidilfitri tersedia satu periuk besar sup tulang. Emak akan buat sendiri rencahnya dan kebiasaannya sup yang emak sediakan simple saja rempah ratusnya, dan semuanya direbus / reneh......
 tapi huh.. bau dan rasanya amat mengancam.

Zaman sekarang ni bila sebut sup tulang, ada macam-macam stail - ada yang letakkan kentang, karot dan tomato dan ditumis. Sebenarnya sup Utara adalah sup, bukan stew orang putih atau "goulash". Sup adalah SUP.


bawang goreng menambah aroma

Daun sup dan daun bawang  boleh ditambah 
Hari ini kita buat sup tulang / sup ekor yang ORI.. memang tulang  atau ekor.

Jom masak sup !!

Bahan-bahannya: 

1 kg tulang yang dipotong kecil - dibersihkan ( saya suka tulang belakang @ ekor)
2 tangkai daun saderi
2 tangkai daun bawang

Bahan untuk ditumbuk halus:
4 cm kulit kayu manis
2 kuntum bunga cengkih
1/2 sudu teh jintan manis
10 biji lada hitam
1/2 sudu teh ketumbar
4 biji buah pelaga
2 cm halia
4 ulas bawang putih
3 ulas bawang merah

Cara menyediakannya:
  1. Panaskan periuk dan tumis bahan yang ditumbuk dengan sedikit minyak masak sehingga wangi.
  2. Masukkan 3 liter air dan semua tulang.
  3. Didihkan atau renehkan sehingga daging tulang  menjadi lembut.
  4. Masukkan garam secukup rasa.
  5. Angkat dan hidangkan - letakkan daun bawang dan daun sup yang telah dipotong.
  6. Jangan lupa taburkan bawang goreng.

*** Kalau takut sup berminyak sangat kalau tumis, kita boleh rebuskan tulang bersama bahan yang ditumbuk. Ambil kain putih dan buatkan bunjut - masukkan dalam periuk dan rebus tulang sehingga dagingnya lembut.

*** Sup tulang enak dimakan bersama roti atau nasi atau sebagai bee hoon sup .

Kalau tak mau berlemak,
sejukkan dalam peti ais,
 bila lemak beku  angkat dan buangkannya.

kalau tak suka bawang goreng...




Mai sepinggan !!



MIAENG KAM, MIENG KHAM, MIANG KUM , Thai: เมี่ยงคำ

Mieng Kam adalah sejenis makanan ringan - "comfort food" dari negara jiran, Thailand. Kalau kita ke Thailand, Mieng Kam ini ada dijual di merata tempat, dari tepi-tepi jalan sehingga ke hotel-hotel. Aku pernah bawa untuk kawan-kawan di KL merasa... masing-masing takut untuk mencuba, tetapi bila dah rasa sekali hmm nak lagi...

cili padi, bawang besar, limau nipis, kacang,
halia, kelapa, udang kering, daun kaduk
dan sirap/manisan
kelongsong diisi dengan miaen kam


Bahan-bahan miaen kam 
Kalau orang utara, Miaeng Kam ini tidak asing kerana batas sempadan antara Perlis dan Siam tidak memisahkan makanan......

Hmmm.. bagi yang takut mencuba, ikut saja instruction dan nikmati kepelbagaian rasa dalam Miaeng Kam ini - manis, masam, pedas, masin, lemak.. menarik !!

Jom cuba  Miaen Kam -  Thai: เมี่ยงคำ !!

Bahan-bahannya;
20 helai daun kadok - dibersihkan 
1 cawan kacang tanah (goreng tanpa minyak)
3 sudu besar udang kering
1 biji limau nipis - dikupas dan potong dadu kecil-kecil
2 cm halia - dibersihkan dan potong dadu kecil-kecil
1 biji bawang besar -  dipotong dadu kecil-kecil
1 cawan kelapa segar - dipotong halus dan goreng tanpa minyak
8 biji cili padi - potong kecil-kecil 

Sosnya:

1 cawan gula melaka
7 ekor udang kering - tumbuk
1 cawan air
garam secukup rasa

* semua bahan di atas dimasak bersama sehingga pekat. Angkat dan sejukkan.

Cara menyediakannya:

  1. Bentukkan daun kaduk seperti bentuk kon.
  2. Isikan serba sedikit bahan-bahan di atas kedalam kon kaduk.
  3. Masukkan satu sudu teh sos ke dalam daun kaduk yang berisi bahan tadi.
  4. Siap untuk dimakan dan nikmatilah kombinasi rasanya yang pelbagai...



Mai sepinggan !!




Tuesday 4 June 2013

KUEH KETAYAP

Kueh Ketayap.. di sebelah utara kami panggil kueh ni ketayap. Ada juga orang menyebutnya kueh dadar. Kalau di kampung saya, ketayap ini warna asalnya ialah hijau daun pandan. Kalau guna daun pandan, warna hijaunya cantik dan berbau wangi.


Kueh Ketayap

Inti kueh dadar ini dibuat daripada kelapa dan gula merah atau gula melaka. Intinya mestilah pekat dan lekit sedikit, barulah ngam !!

Ketayap biasanya  dimakan sebagai minum petang atau masa kita orang kecil-kecil dulu, emak selalu buatkan bekal untuk ke sekolah atau untuk parti kelas.

Senang saja  buat ketayap! JOM...

Bahan-bahannya  untuk inti:
150 gm gula melaka
3/4 cawan air
1/2 biji kelapa parut ( kalau boleh kelapa yang belum tua lebih sedap)
sehelai daun pandan - disimpulkan 
garam secukup rasa

Cara menyediakannya:
  1. Gaulkan semua bahan untuk inti dalam periuk bersama daun pandan yang disimpulkan.
  2. Masakkan di atas api sederhana sambil kacau sampai sebati dan melekit sedikit.
  3. Angkat dan sejukkan.

Bahan-bahan untuk kulit:

1 cawan tepung gandum - diayak
1/2 cawan santan (jika suka)
1 biji telur
8 helai daun pandan - dipotong kecil dan dimesin dengan 1 cawan air - ambil jus hijau

Cara menyediakannya:
  1. Masukkan tepung ke dalam mangkuk adunan.
  2. Masukkan telur, santan dan air daun pandan sedikit demi sedikit menjadi better sederhana cair.
  3. Tapiskan bancuhan/ adunan tadi agar adunan sekata / tidak berketul.
  4. Panaskan kuali dan sendukkan better ke dalam kuali dan ratakannya.
  5. Apabila masak, angkat dan masukkan inti. 
  6. Gulung, lipatkan bahagian tepinya dan gulung hingga kemas.
  7. Buat sehingga selesai dan hidangkan.

Better untuk ketayap 

Kulit yang sudah masak 

Letakkan inti di bahagian hujung 

Gulung, lipat ditepi dan gulun sampai habis

Nyummy..



Mai sepinggan!!


KERABU BELIMBING BULUH DAN DAUN SELOM

Kerabu daun selom !! Adoi, memang sangat sedap - merupakan kegemaran kami adik-beradik dari dulu sehingga sekarang, apatah lagi kalau dimakan bersama nasi panas... Kerabu ini asli dari Perlis....

Sebenarnya taklah susah buat kerabu ini.... resepi ini adalah yang diperturunkan oleh Allahyarham emak kami.. Memang tiada tandingan !! Mudah  dan sedap !



Belimbing buluh dan daun selom dihiris


Bahan-bahan yang perlu ditumbuk 


Campur semua bahan dan perisakan
Bahan-bahannya:

1 ikan daun selom - dibersihkan dan potong halus
10 biji belimbing buluh dipotong halus
5 sudu besar kerisik
1/2 cawan santan pekat
1 ekor ikan kembung dibakar - diambil isi (optional) - boleh ganti dengan udang basah 
5 ulas bawang merah - di tumbuk 
1 sudu kecil lada hitam - tumbuk halus
1/2 inci halia - ditumbuk halus
1/2 inci lengkuas - ditumbuk halus
2 batang serai - dihiris dan ditumbuk halus
7 biji cili padi - ditumbuk halus
garam dan gula merah secukup rasa.


Cara menyediakannya:

  1. Campurkan semua bahan yang ditumbuk bersama daun selom dan belimbing buluh.
  2. Masukkan kerisik, isi ikan, garam dan gula dan gaul sehingga sebati.
  3. Hidangkan bersama nasi panas.

* kalau guna belimbing, tak perlu air asam lagi

Kerabu yang siap digaul 



Mai Sepinggan !!



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...